Skuad badminton jalani ‘tuisyen’ malam menjelang fasal kritikal ke Paris 2024

Iklan
Sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. Skuad badminton kebangsaan akan beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang dijadualkan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini. Foto Bernama

SKUAD badminton negara bakal mengikuti kelas ‘tuisyen’ dengan menjalani latihan tambahan pada sebelah malam, pada ketika persediaan Sukan Olimpik Paris yang kini memasuki fasa kritikal.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, latihan tambahan itu, akan diadakan dua atau tiga kali seminggu melibatkan semua pemain di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan ia atas permintaan pemain seperti beregu lelaki Soh Wooi Yik.

Iklan
Iklan

Namun, beliau berkata, kekerapan latihan malam selain latihan sesi pagi dan petang itu, akan bergantung kepada keadaan dan kondisi pemain, kerana pihaknya tidak mahu mereka mengalami kecederaan atau sakit.

"Kita bagi keutamaan kepada pemain dalam RTG (program Road to Gold) untuk sebulan ini sehingga bertolak ke Perancis. Kita mungkin boleh ubah masa latihan, pemain lain juga harus faham,” katanya ketika ditemui di sesi latihan di ABM Bukit Kiara di sini, hari ini.

Iklan

Skuad negara kemudian akan berkampung selama 10 hari di wilayah Aire Sur La Lys, Perancis bermula 10 Julai, menjalani kem latihan pra-Olimpik menjelang temasya terbesar dunia itu, yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini.

"Latihan pusat itu, untuk membiasakan diri dengan keadaan di sana (termasuk persekitaran dan perbezaan masa). Ia bagi memastikan pemain betul-betul bersedia dan fokus sepenuhnya, lokasinya juga di kawasan yang senyap,” tambahnya.

Iklan

Pemain BAM yang bakal beraksi di Olimpik Paris dalam usaha memburu pingat emas pertama negara ialah juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Wooi Yik, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Malaysia turut akan diwakili dua pemain professional, iaitu juara bekas All England Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan bekas juara Kejohanan Remaja Dunia Goh Jin Wei (perseorangan wanita).

Sementara itu, Rexy berkata, Wooi Yik mahu tinggal di ABM sehingga bertolak ke Perancis pada 10 Julai, supaya dapat memberikan fokus sepenuhnya dan mengelakkan gangguan.

"Satu keputusan yang cukup positif, dia sedar bahawa perlu masa untuk lebih fokus menjelang Olimpik. Mungkin berasa bahawa lebih tenang di sini berbanding di luar (rumah) dan jalani latihan tambahan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!