JOHOR BAHRU - Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave (Econsave) membuka sebuah lagi kem perlindungan untuk penduduk Gaza, Palestin yang hilang tempat tinggal angkara kekejaman rejim zionis.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE berkata, Dr Mohd Zin Kandar berkata, Friendship Shelter Camp 2 itu memberi perlindungan kepada 95 keluarga yang ditempatkan dalam 58 buah khemah pada 27 Mei lalu.
"Penghuni adalah daripada kalangan keluarga yang menjadi pelarian setelah kediaman mereka dibom. Ada yang datang dari utara Gaza dan yang berada di tengah dan selatan Gaza.
"Mereka juga telah beberapa kali berpindah randah kerana beberapa kali serangan ke atas rumah dan kawasan-kawasan kediaman sementara mereka," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, bantuan tersebut diberikan selepas mendapati ramai yang hilang tempat tinggal sejak rejim zionis memasuki Gaza dan memusnahkan kediaman mereka pada Oktober lalu.
Penasihat MyCARE Johor itu juga memberitahu, penduduk yang enggan berpindah juga terpaksa berbuat demikian apabila kediaman mereka terus dibom terutama di selatan Gaza.
Menurut Dr Mohd Zin, simpati dengan keadaan itu, MyCARE dan Econsave mencari tapak sesuai untuk memberi perlindungan kepada pelarian terbabit yang kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang.
Katanya, apabila sejurus penghantaran bantuan dari Kaherah, Mesir dapat memasuki Gaza, koordinasi dijalankan oleh pihak berwajib yang menerima kargo iaitu Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Sahida pada Pertengahan Mei lalu.
Tambah beliau, Dr Ziad yang merupakan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut dan juga penduduk tempatan kemudian bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran An-Nusairat bagi merealisasikan projek berkenaan.
"Kita sudah bekerjasama dengan PBT ini selama bertahun-tahun sejak pejabat MyCARE dibuka di Gaza. Kerjasama kita melibatkan usaha menyalurkan segala macam bantuan kemanusiaan," ujarnya.
Jelasnya, ini kerana PBT berkenaan mempunyai data yang lengkap dan menyenaraikan keperluan-keperluan utama daripada peringkat komuniti, keluarga dan individu.
"Oleh itu bantuan kemanusiaan yang disampaikan akan menepati sasaran mengikut keperluan yang kritikal dan menyeluruh," katanya.
Dr Mohd Zin berkata, situasi ketika ini di kem berkenaan amat memerlukan pelbagai bantuan keperluan asas
seperti air bersih dan makanan seperti roti, ubat-ubatan untuk merawat keluarga yang sakit serta pakaian.
"Disebabkan kebanyakan mereka tinggal sehelai sepinggang, segala-galanya diperlukan. Ini termasuk keperluan pendidikan anak-anak. Oleh itu MyCARE cuba mewujudkan kemah untuk pendidikan asas dan surau serta kemudahan bekalan air," tambahnya.
Bagi orang ramai yang ingin menghulur bantuan berbuat demikian menerusi akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad menerusi Maybank Islamic Berhad 5515 7500 4299 dan hantar slip ke WhatsApp +6018-9677215 (Saadon); +6019-7342539 (Dr Zin) +6019-7458517 (Rozi).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!