PUTRAJAYA - Malaysia dan China hari ini memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) Program Pertukaran Kepakaran dalam Sains dan Teknologi, lanjutan daripada Perjanjian kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi yang telah ditandatangani antara kedua-dua negara pada 4 Oktober 2013.
MoU berkenaan antara lain akan menerajui skop kerjasama merangkumi program pertukaran saintis dan penyelidik, kolaborasi antara institusi penyelidikan serta penganjuran bersama program dan persidangan akademik dengan keterlibatan saintis dan penyelidik antarabangsa.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah berkenaan sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang memberi tumpuan strategik kepada pertumbuhan ekonomi ke arah pembangunan industri dipacu inovasi dan melibatkan aktiviti nilai tambah lebih tinggi.
"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku peneraju sains, teknologi dan inovasi (STI) negara juga telah menetapkan bidang-bidang keutamaan dengan pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) terutamanya industri berasaskan teknologi seperti hidrogen, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi dan teknologi angkasa,” katanya.
Pemeteraian MoU itu diadakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia. Pertukaran dokumen MoU tersebut disempurnakan oleh Chang dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Li dalam satu majlis di sini hari ini.
Menerusi kerjasama dua hala Malaysia-China yang melibatkan peningkatan kapasiti dan kepakaran dalam pelbagai industri STI, Chang berkata ia bakal menyumbang kepada pemerkasaan bakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang mampu memacu pembangunan industri strategik berimpak tinggi dalam negara.
"Jalinan kerjasama khusus kepada pertukaran kepakaran dan penyelidikan dalam STI ini dijangka dapat memberi nilai tambah bermanfaat kepada kedua-dua negara selain menarik kerjasama penyelidikan lebih meluas serta menggalakkan kemajuan saintifik dan pembangunan ekonomi dua hala yang lebih kukuh,” kata Chang.
Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009 dengan nilai dagangan RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).
Hubungan Malaysia dan China semakin kukuh susulan peningkatan hubungan dua hala melalui Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!