Pemuda Pas Selangor dakwa UMNO Kota Raja guna masjid untuk kepentingan parti

Iklan
Mohamed Sukri turut berkongsi kain rentang yang didakwanya dipasang di Masjid An Naim, Jalan Kebun di Klang

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mengecam tindakan UMNO Bahagian Kota Raja yang sewenang-wenangnya mempergunakan masjid untuk kepentingan program parti.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, penganjuran Majlis Korban Perdana di Masjid An Naim, Jalan Kebun di Klang jelas bermotif politik apabila terpampang perkataan UMNO di sepanduk yang direntangkan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, hal tersebut jelas melanggar titah baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan larangan parti politik untuk berpolitik di masjid.

"Sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Abdul Aziz) sepatutnya cakna dengan etika masjid zon bebas politik ini.

Iklan

"Janganlah berselindung di sebalik pelaksanaan ibadah korban untuk menyelinap agenda politik ke dalam institusi masjid.

"Hormati titah Sultan Selangor dan arahan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Iklan

Mohamed Sukri berkata, berdasarkan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017, Pentadbir Masjid dan Surau hendaklah membantu apa juga ketetapan yang dibuat oleh MAIS.

Jelasnya, sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan MAIS boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Berpolitiklah secara matang dan sejahtera. Masjid perlu dijadikan medan untuk masyarakat bersatu-padu tanpa mengira latar belakang parti, kaum mahupun taraf kehidupan," ujarnya lagi.

Tambahnya, jangan biarkan budaya politik sempit yang gemar menggunakan kesempatan ini terus memecah-belahkan rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!