SINGAPURA - [DIKEMAS KINI] Seorang pemimpin ajaran sesat di Singapura dihukum penjara 10 tahun dan enam bulan, menurut media tempatan pada Rabu.
CNA melaporkan Woo May Hoe memperdaya kira-kira 30 pengikutnya dan mengakui dirinya sebagai 'dewa' dan mengaut lebih AS$10 juta (RM47 juta) sejak beberapa tahun lalu.
Dokumen mahkamah menyatakan May Hoe turut memberi jaminan kepada mereka kononnya bayaran itu bertujuan untuk menghapuskan 'karma buruk' mereka.
"Dia memberitahu wang itu dihantar kepada pemimpin spiritual, Sri Sakthi Narayani Amma atau untuk membiayai projek pembinaan kuil baharu,” jelas laporan itu lagi.
Wanita itu turut merotan pengikut yang 'derhaka' dan memaksa makan najis atau mencabut gigi mereka dengan playar.
"Perbuatan tertuduh telah menjejaskan kewangan mangsa selain menyebabkan sebahagian daripadanya hilang upaya fizikal secara kekal,” ujar pendakwa raya menerusi hujahan mereka kepada mahkamah.
Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan mendapati May Hoe mengalami skizofrenia paranoid ketika melakukan kesalahan itu, namun dia sedar ia adalah tindakan yang tidak wajar. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!