Pembantu tadbir sekolah ditahan disyaki salah guna kuasa

Iklan

KOTA KINABALU - Seorang pembantu tadbir ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menyalah guna kuasa bagi mendapatkan dua perolehan perkhidmatan bernilai RM40,000.

Suspek wanita berusia 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Tawau pada jam 11 pagi Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, suspek yang bertugas di sebuah sekolah di negeri ini dikatakan mendapatkan perolehan bagi penyewaan mesin fotostat dan kerja pemasangan sinki serta perpaipan.

"Suspek disyaki menggunakan jawatannya pada tahun 2020 sebagai pembantu tadbir bahagian perkeranian atau operasi untuk mendapatkan suapan dengan mempelawa sebuah syarikat bagi perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan pencetak yang bernilai kira-kira RM20,000 sedangkan kerja tersebut dilakukan oleh suspek sendiri.

Iklan

"Pada tahun yang sama, suspek juga disyaki menggunakan jawatannya untuk memilih syarikat yang dimiliki kepentingan oleh suaminya untuk kerja pemasangan sinki, perpaipan dan lain-lain yang juga bernilai kira-kira RM20,000," katanya.

Susulan penahanan itu, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi tujuan pertuduhan pada pagi Khamis.

Iklan

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tersebut.

"Kes akan dituduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!