PUTRAJAYA - Malaysia dan China telah bersetuju untuk melaksanakan satu lagi kitaran program lima tahun untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan yang ditubuhkan buat pertama kali pada tahun 2013, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Program itu akan berlangsung dari 2024 hingga 2028 bertujuan untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang sedia ada seperti perdagangan dan pelaburan, pembuatan, infrastruktur pertanian, ekonomi digital, logistik dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.
Ia juga bagi menggalakkan kerjasama dalam bidang baharu termasuk inovasi, syarikat pemula niaga dan perkhidmatan kewangan.
Untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, Tengku Zafrul dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao menandatangani dan bertukar tiga dokumen penting hari ini, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, China Li Qiang.
Dokumen pertama yang ditandatangani adalah berkaitan program pertama pada tahun 2013 iaitu Program Lima Tahun Malaysia-China untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, menyatakan bahawa program itu telah meningkatkan perdagangan dua hala dengan ketara dan mempereratkan kerjasama ekonomi.
Ia termasuk menjadikan China sebagai rakan dagangan utama Malaysia sejak 2009 dan salah satu sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia.
Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan (2024-2028) menggalakkan penyertaan daripada perniagaan di negara lain dan organisasi pelbagai hala antarabangsa serta institusi kewangan.
Selain itu, dua Memorandum Persefahaman (MoU) baharu telah ditandatangani untuk meningkatkan pelaburan berkualiti tinggi dalam ekonomi digital dan hijau.
Di bawah MoU mengenai ekonomi digital, kedua-dua negara menyasarkan untuk meneroka kerjasama dalam infrastruktur digital termasuk rangkaian komunikasi, infrastruktur pintar dan bandar pintar, didayakan oleh teknologi seperti kecerdasan buatan dan ketersambungan 5G dalam sektor seperti pembuatan, pengangkutan, perniagaan, kewangan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Sementara itu, MoU mengenai pembangunan hijau bertujuan untuk meneroka kerjasama dalam tenaga bersih, kenderaan tenaga baharu, kewangan hijau, pembinaan infrastruktur mampan dan teknologi hijau.
Kerjasama berkenaan termasuk penyelidikan dan pembangunan serta penubuhan platform inovasi saintifik dan teknologi untuk mempercepatkan transformasi hijau kedua-dua negara.
"Malaysia dan China adalah rakan kongsi lama, mempunyai sejarah kerjasama yang berjaya diterjemahkan kepada hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh.
"Tiga dokumen mengenai ekonomi dan perdagangan, ekonomi digital dan ekonomi hijau yang ditandatangani itu menekankan komitmen bersama untuk mewujudkan perkongsian stabil, boleh dipercayai dan berdaya tahan bertujuan mengembangkan perniagaan dan ekonomi kita,” kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan China dan pihak berkepentingan untuk merealisasikan sepenuhnya hasil daripada pengaturan kerjasama tersebut.
Dalam pada itu, MITI juga mengalu-alukan kerjasama Malaysia-China dalam mewujudkan sistem tetingkap tunggal untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan dengan memperkemas proses pengawalseliaan perdagangan dan memudahkan dokumentasi.
Sistem itu akan membolehkan pertukaran digital yang lancar bagi maklumat berkaitan perdagangan antara pihak berkuasa kastam di kedua-dua negara.
Pertukaran digital sedemikian akan didayakan menggunakan teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI) dan blok rantai untuk memastikan pertukaran data dalam masa nyata, lancar dan tepat, pada masa sama mengembangkan spektrum perkhidmatan kemudahan perdagangan kepada pengimport dan pengeksport.
"Inisiatif perdagangan tetingkap tunggal antara Malaysia dan China adalah langkah strategik ke arah meningkatkan keupayaan kemudahan perdagangan Malaysia dan ia dijangka dapat mempercepat dan memperkemas pergerakan barangan dengan ketara serta mengurangkan beban pentadbiran bagi perniagaan.
"Ini bukan sahaja akan menyokong pertumbuhan perdagangan dua hala tetapi turut memupuk daya tahan ekonomi antara Malaysia dan China,” kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata, MITI komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan Pentadbiran Am Kastam China untuk memastikan kejayaan pelaksanaan tetingkap tunggal saling kendali itu untuk memupuk persekitaran perdagangan lebih cekap, telus, selamat dan berdaya tahan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!