Shereen sedia 'tukar angin' di Olimpik Paris

Iklan
Shereen terbuka untuk mendepani cabaran daripada menyertai acara kegemarannya 400 m kepada 100m bersandarkan pengalaman beraksi di Amerika Syarikat - Foto: Bernama

PELARI pecut negara, Shereen Samson Vallabouy sedia ‘bertukar angin’ daripada acara kegemarannya 400 meter (m) kepada 100m seperti ketetapan yang perlu dipenuhi sekiranya meraih slot tunggal olahraga negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Biarpun ia bukan acara sinonim dengannya, namun Shereen terbuka untuk mendepani cabaran itu bersandarkan pengalaman beraksi di Amerika Syarikat.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memaklumkan slot tunggal hanya tersedia bagi acara 100m, 800m dan maraton.

"Saya mempunyai kelajuan yang agak baik dan pernah berlari bagi acara itu (100m) serta menyerlah bagi acara 200m. Jadi saya nampak kemungkinan untuk melakukannya,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Iklan

Pemegang rekod kebangsaan 400m wanita dengan catatan 51.79 saat (s) itu berangkat ke Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan berlangsung pada 23 hingga 24 Jun ini yang juga kejohanan terakhir bagi melayakkan diri ke Paris 2024.

Atlet berusia 26 tahun berasal dari Perak itu dalam masa sama berazam untuk terus bangkit memburu kelayakan ke Olimpik secara merit bagi acara 400m seperti yang disasarkan sebelum ini.

Iklan

"Bagi saya, kejohanan di Kazakhstan amat penting kerana ia adalah peluang terakhir saya untuk melayakkan diri ke Olimpik di Paris nanti.

"Saya hanya mahu melakukan yang terbaik biarpun ada sedikit tekanan dirasai,” katanya.

Sebelum ini, KOM mengesahkan Shereen dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi berada dalam senarai badan induk sukan itu untuk diberikan satu slot tunggal bagi mewakili Malaysia dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Jawatankuasa pemilihan KOM perlu menyerahkan nama seorang daripada mereka kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 8 Julai ini sekiranya kedua-dua atlet itu tidak dapat melayakkan diri secara merit. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!