KUALA KRAI - Murid tahun lima meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 62, Jalan Kota Bharu - Gua Musang ketika pulang menjala ikan bersama bapanya.
Mangsa, Muhammad Danish Irfan Kamaruzzaman,10, dari Kampung Bukit Arang yang membonceng motosikal bapanya cedera parah pada kepala serta beberapa anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara bapanya, Kamarulzaman Hussin,36, cedera parah di kepala dirawat di Hospital Kuala Krai.
Iklan
Iklan
Dalam pada itu, pemandu kereta berusia 23 tahun yang terlibat dalam nahas tersebut tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika kejadian jam 10.30 malam, pemandu kereta yang juga penuntut universiti awam dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kuala Krai.
"Apabila tiba di tempat kejadian pemandu berkenaan tidak menyedari sebuah motosikal berada di sebelah kanan untuk masuk ke stesen minyak menyebabkan mereka dirempuh dari bekakang.
"Berikutan itu mangsa tercampak sejauh 80 meter dari lokasi kejadian," katanya.
Abdullah berkata, pembonceng yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.