SEJAK Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ditubuhkan pada 1946, Kelantan bukanlah pasukan pilihan dalam saingan bola sepak tempatan walaupun pernah melakukan beberapa kejutan termasuk membuat penampilan pertama di pentas final Piala Malaysia tahun 1970.
Bagaimanapun, pada 2005 Kelantan terjerumus ke saingan Piala FAM selepas berada di kedudukan tercorot liga.
Sungguhpun begitu, Kelantan kembali semula ke saingan utama Liga Malaysia (Liga M) apabila merangkul kejuaraan Piala FAM dengan menewaskan Shahzan Muda dipentas final menerusi kemenangan 2-1.
Momen itu cukup indah untuk dikenang apabila pasukan itu merangkul kejuaraan di gelanggang keramat Stadium Sultan Muhammad IV.
Selepas kembali semula ke saingan Liga Perdana, prestasi Kelantan boleh dianggap sederhana apabila berada di kelompok pertengahan.
Tranformasi Annuar Musa
Kelantan mula mengalami transformasi apabila Tan Sri Annuar Musa menerajui KAFA pada 2007 dan pemain bertaraf bintang mula dibawa masuk pada 2009.
Kemasukan pemain bintang menyaksikan Kelantan melakukan kejutan terbesar apabila buat kali pertama mara ke final Piala FA dan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Kelantan di bawah bimbingan Peter Butler (Piala FA) dan mendiang B Sathianathan (Piala Malaysia) gagal meraih kejuaraan pada penampilan pertama di kedua-dua aksi final itu.
Setahun kemudian, Annuar yang memberikan kepercayaan penuh kepada Sathianathan untuk mengendalikan pasukan berjaya menamatkan kemarau kejuaraan dengan menghadiahkan Piala Malaysia buat kali pertama kepada rakyat Kelantan apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi final.
Selepas itu, Kelantan yang digelar The Red Warriors (TRW) terus mencipta sensasi apabila meraih pelbagai kejuaraan dalam kancah Liga Malaysia.
Namun, selepas berdepan masalah kewangan, Kelantan melalui proses penswastaan pada 2020 apabila seorang usahawan dari Johor iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham membeli pasukan itu daripada KAFA dengan nilai RM6.8 juta.
Zamsaham membuktikan kesungguhannya apabila membawa Kelantan mara secara merit ke saingan Liga Super apabila muncul naib juara Liga Perdana pada 2021.
Namun, hasrat penyokong Kelantan untuk melihat TRW kembali menjadi kuasa bola sepak tempatan tidak kesampaian apabila memperagakan aksi terburuk sepanjang saingan itu.
Kelantan menjadi ‘lauk’ apabila merekodkan 121 gol bolos dalam 26 perlawanan.
Lebih memalukan, mereka bolos 15 gol dalam saingan Piala Malaysia hanya dalam dua perlawanan pusingan 16 pasukan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi kekalahan 1-5 dan 0-10. Situasi tersebut menyaksikan peminat Kelantan menyifatkan 2023 sebagai tahun malapetaka TRW.
Prestasi merudum
Prestasi Kelantan dalam kancah Liga Malaysia semakin menyusut apabila menarik diri dari saingan Liga Kejuaraan MBSB Bank Liga A1 Semi-Pro (Liga M3) bagi 2024.
Tindakan itu menyaksikan buat julung kalinya pasukan itu tidak menyertai sebarang pertandingan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presiden TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman menjelaskan, keputusan itu diambil setelah melakukan penilaian dan pertimbangan teliti mengenai hal tuju kelab tersebut.
Pemain legenda Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya turut meluahkan rasa dukacita dengan nasib TRW.
Katanya, sebagai ketua yang pernah membawa pulang tiga piala pada 2012, keputusan itu tidak boleh diterima.
Justeru, Annuar selaku bekas Presiden KAFA berharap jenama TRW yang pernah dibina dengan penuh gah satu masa dahulu tidak ‘ditalkinkan’ (terkubur).
"Ia tidak automatik. Jika demikian saya amat sedih dan kesal dengan situasi ini. Mematikan memang mudah, nak memajukan perlu bertahun lamanya,” luahnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Siber Kelantan Darul Naim (Kelate.Net), Mohd Nurul Mohd Yusoh menganggap jenama TRW yang pernah gah satu masa dahulu ‘terkubur’.
Ujarnya, tiada lagi keperluan untuk bercakap soal masa depan pasukan itu kerana ia tetap akan sama jika pihak pengurusan masih berada di takuk lama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!