SHAH ALAM - Penggguna mendakwa beberapa barang keperluan asas seperti ayam, ikan dan udang, cili serta sayur-sayuran lain didapati mengalami kenaikan harga selepas satu minggu penyasaran subsidi diesel dilaksanakan.
Tinjauan Sinar Harian di pasar raya sekitar Lembah Klang mendapati peningkatan tersebut berlaku antara RM2 hingga RM3 membabitkan beberapa jenis barangan bukan kawalan.
Seorang pengguna, Mohd Aide Mohamed Kussim, 51, mendakwa, beberapa barangan keperluan asas mengalami sedikit kenaikan berbanding minggu lalu.
"Harga hari ini pun masih sama macam minggu lepas, cuma cili padi ada sedikit peningkatan sekitar RM2 hingga RM3 macam itu,” katanya pada Selasa.
Suri rumah, Nor Baiti Mohamad Sidik, 52, turut mendakwa harga barangan basah seperti ayam, ikan dan udang meningkat sebanyak 50 peratus.
Menurutnya, bahan asas seperti sayur dan bawang sebelum ini sekitar RM2 bagi 100 gram hingga 200 gram tetapi kini sudah mencecah RM4.
"Ini harga kawasan luar bandar, di kawasan bandar masih belum terjejas. Mungkin kos naik sebab mahu tampung kos pengangkutan,” ujarnya.
Menurut Nur Hasmalynda Hasan, 35, ada kedai runcit didapati menaikkan harga beberapa barangan.
Dia melahirkan kebimbangan untuk jangka masa akan datang kemungkinan lebih banyak lagi barang yang akan naik harga.
"Saya memang mengharapkan tiada lagi kenaikan dan dapat kembalikan harga yang asal sebelum ada kenaikan harga diesel,” luahnya.
Bagi anggota polis, Norazran Yusoff, 36, kerajaan perlu mengekalkan harga barangan keperluan asas kini dan menaikkan taraf gaji rakyat supaya tidak terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.
"Zaman sekarang banyak nak pakai duit... barang pun mahal. Kalau keluarga yang ada anak ramai lagi banyak kos perbelanjaan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Kakitangan Lembaga Zakat Selangor, Nor Najla Rolin, 28, berkata, peningkatan harga barangan menjadikan dia dan keluarganya terpaksa menyusun semula perbelanjaan bulanan.
"Saya faham mereka (peniaga) terpaksa menaikkan harga kerana mereka juga mempunyai komitmen seperti bayar tapak sewa dan gaji pekerja.
"Saya rasa sangat terbeban dengan harga mahal sekarang. Bayangkan dulu beli barang keperluan RM100 sudah mencukupi untuk seminggu tapi sekarang RM200 baru cukup,” katanya.
Bagi suri rumah, Nurul Farafisya Adibah Zulkepli, 26, dia mengakui bahawa harga barang kawalan masih sama seperti yang ditetapkan kerajaan namun terdapat beberapa barangan lain mengalami ketidaktentuan harga.
Katanya, kenaikan harga barang dari masa ke masa memerlukan perhatian penuh daripada kerajaan dengan memberi lebih banyak bantuan supaya dapat meringankan beban rakyat dalam menghadapi situasi berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!