Foden yakin menyerlah Euro 2024

Iklan
Foden (kiri) berusaha melepasi pemain tengah Serbia, Nemanja Gudelj semasa perlawanan Kumpulan C Euro 2024 di Arena AufSchalke, Gelsenkirchen.

PHIL Foden memberi amaran kepada pesaing England bahawa gandingan serangannya dengan Jude Bellingham akan menyerlah pada Euro Jerman 2024.

Pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dan Bellingham tiba di Jerman dengan reputasi dalam kalangan bakat jentera serangan paling digeruni Eropah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kehadiran Foden kurang memberi kesan ketika Bellingham menjaringkan gol kemenangan England ke atas Serbia di Veltins-Arena, 17 Jun lalu.

Namun, bintang Manchester City itu menegaskan, pakatannya bersama Bellingham akan menjadi lebih baik.

Iklan

"Jude bakat yang luar biasa. Dia membawa dirinya dengan sangat baik. Saya fikir dia berubah menjadi seorang pemimpin. Saya rasa permainan pautan kami bagus pada masa-masa tertentu dan saya percaya ia juga bertambah baik, malah boleh terus menjadi lebih baik.

"Dia pemain berbakat yang menarik dan saya seronok bermain dengannya. Saya akui perlawanan pertama kejohanan besar kebiasaannya paling sukar, jadi penting untuk meraih kemenangan dan kami melakukannya.

Iklan

"Jelas sekali, kami kadang-kadang terpaksa bertahan dan menekan lebih dalam tetapi saya percaya itu sisi berbeza kepada kami,” katanya.

Sebagai rekod, di bawah kendalian Pep Guardiola, bintang England itu memainkan bola sepak terbaiknya di posisi serangan lebih tengah bersama Kevin de Bruyne, manakala di bawah bimbingan Southgate lebih kerap bermain di bahagian sayap.

Musim terbaiknya di Etihad menyaksikan dia menjaringkan 27 gol dan mencatat 13 bantuan untuk semua kejuaraan. Bagi tugasan bersama England, Foden hanya berjaya menjaringkan empat gol dalam 35 penampilan.

England akan berdepan dengan Denmark dalam aksi Kumpulan C Euro 2024 di Stadium Deutsche Bank Park, pada awal pagi Jumaat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!