[VIDEO] Lelaki mabuk mengaku tidak bersalah sebabkan kematian remaja

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian seorang remaja pada 16 Jun lalu.

Tertuduh, L Satish Kumar, 25, membuat pengakuan berkenaan setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, A Shaarmini.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, Satish Kumar yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Xpander dengan kandungan 173 miligram alkohol dalam badan didakwa menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Mohamad Hafizul Hafizzudin, 17.

Satish Kumar didakwa melakukan kesalahan terbabit pada jam 12.15 tengah malam di Kilometer 41, Jalan Gelang Patah - Pendas, Iskandar Puteri pada Ahad.

Iklan

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

Tertuduh tidak mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian seorang remaja berusia 17 tahun, 16 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor S Vikines manakala tertuduh diwakili peguam R Sangaran.

Iklan

Pihak pendakwaan kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Pihak pendakwaan turut mengemukakan syarat tambahan dengan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran iaitu di Balai Polis Kangkar Pulai sebulan sekali.

Pihak peguam kemudiannya memohon jaminan dikurangkan berikutan tertuduh bekerja di Singapura dengan gaji RM2,500 sebulan dan ayahnya bakal menjalani pembedahan mata dalam masa terdekat.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 berserta syarat tambahan, perlu melapor diri ke balai polis berhampiran (Balai Polis Kangkar Pulai) setiap bulan dan lesen memandu digantung selama prosiding.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 23 Julai 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!