Tiada sekolah terkecuali garis panduan DLP - Fadhlina

Iklan
Fadhlina (kiri) beramah mesra dengan murid-murid SK Sungai Bakap yang hadir pada majlis peluncuran Sekolah Pengajar Program Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia pada Khamis.

NIBONG TEBAL - [DIKEMAS KINI] Tiada sekolah yang terkecuali dalam melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Melayu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan berhubung pelaksanaan program berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan DLP mesti mematuhi dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)’ serta berusaha mencapai matlamat negara tanpa mengabaikan hak pelajar untuk belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia atau bahasa ibunda mereka di sekolah vernakular.

"Mana-mana sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan garis panduan itu, kita akan turun dan bantu sekolah tersebut untuk melaksanakannya,"katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim yang menyatakan sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah dikecualikan daripada peraturan baharu DLP.

Sebelum itu, Fadhlina menghadiri majlis peluncuran Sekolah Pengajar Program Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap dekat sini.

Iklan

"Antara intipati program terbabit adalah dengan menubuhkan Pasukan Khas Reformasi Pendidikan dengan memperkenalkan Sahabat Bahasa untuk membudayakan dan menyemarakkan pelaksanaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara komprehensif.

"Inisiatif ini dilaksanakan di bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan terdiri sekolah IPG, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional,” katanya.