PASIR GUDANG - Ibu kepada murid pra sekolah yang maut dilanggar van sekolah di Jalan Suria, Bandar Seri Alam di sini pada Rabu merasakan masih terngiang-ngiang di telinganya panggilan arwah anaknya itu setiap kali pulang dari sekolah.
Menurut ibu mangsa, Karmin Kahil, 39, sudah menjadi rutin bagi Nurhafizah Nuljin, 5, dan abangnya, Muhammad Afieq Miqhael, 6, memanggilnya selepas turun dari van sekolah dan ketika menghampiri pagar rumah pada jam 11 pagi setiap hari.
Namun dia hairan apabila pada Rabu kedua-dua anaknya itu tidak memanggilnya seperti biasa sebaliknya hanya mendengar panggilan pemandu van yang memintanya keluar rumah bagi melihat keadaan anaknya.
"Saya menjadi panik dan buntu seketika melihat keadaan anak hingga pada awalnya menjangkakan Nurhafizah dirempuh kenderaan lain.
"Pemandu van berkenaan kemudian meninggalkan lokasi kejadian kerana mahu menghantar murid lain sebaliknya saya dibantu jiran untuk menghantar anak ke Klinik Kesihatan (KKM) Masai," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Karmin berkata, Nurhafizah kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dan mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala serta urat di belakang leher juga terputus sebelum disahkan meninggal dunia.
"Mungkin dia terseret dalam kemalangan itu namun kami menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
"Saya tidak sangka kehilangan anak dalam sekelip mata, mungkin kejadian dapat dielak sekiranya pemandu van berkenaan lebih berhati-hati," ujarnya.
Dalam kejadian pada jam 11.35 pagi itu, dua beradik terbabit turun dari van sekolah berkenaan yang dipandu seorang wanita berusia 50 tahun selepas tiba di hadapan rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, pemandunya meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa turun dan melepasi belakang van sekolah terbabit serta beranggapan mangsa turut mengikutinya.
Beliau berkata, tiba-tiba semasa bergerak ke depan pemandu berkenaan terlanggar mangsa yang melalui hadapan van sekolah terbabit tanpa disedari sebelum kanak-kanak itu dikejarkan ke KKM Masai.
Dalam pada itu, Karmin yang merupakan suri rumah berkata, dia masih tidak dapat melupakan kejadian menyayat hati menimpa anak bongsu daripada tujuh cahaya matanya itu.
Menurut Karmin, arwah mula menaiki van berkenaan sejak awal tahun ini manakala Muhammad Afieq Miqhael pula sejak tahun lalu dan kedua-dua beradik itu belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Alam 2.
"Kejadian mengakibatkan Muhammad Afieq Miqhael trauma kerana dia melihat keadaan Nurhafizah hingga membuatkannya menangis setiap kali melihat gambar adiknya mahupun ketika kami bercerita kejadian yang meragut nyawa arwah," katanya.
Dia dan suami, Nuljin Delson, 41, yang merupakan juru kimpal reda dengan kejadian menimpa anak kesayangan itu dan mengakui sudah rindu terhadap arwah.
Katanya, baru-baru ini dia sempat membelikan baju baharu bagi arwah sempena Hari Raya Aidiladha dan anaknya itu kelihatan amat ceria.
"Dia pernah minta saya belikan tudung dan dia juga seorang yang rajin ke sekolah walaupun tidak sihat.
"Semalam wajahnya memang berseri-seri seperti kebiasaannya dan arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Cahaya Masai di sini kira-kira jam 6 petang, semalam," katanya yang berasal dari Sabah dan sudah 20 tahun menetap di Johor.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!