Peniaga Dataran Batu Putih cemas suis utama gerai terbakar disambar kilat

Iklan
Suzana menunjukkan suis utama gerai perniagaan yang terbakar dalam kejadian malam Rabu.

MARANG - Peniaga Dataran Batu Putih dekat sini berdepan detik cemas apabila suis utama lokasi tarikan pelancong itu terbakar dipercayai akibat disambar kilat.

Kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam pada Rabu itu disedari seorang pekerja gerai yang ketika itu sedang membersihkan alatan perniagaan sebelum memaklumkan menerusi grup WhatsApp.

Iklan
Iklan

Bendahari Persatuan Komuniti Dataran Batu Putih, Suzana Jusoh, 50, berkata, ketika kejadian hujan lebat membasahi kawasan itu menyebabkan percikan api lambat merebak.

"Waktu sampai tu terdapat percikan api dan kawasan sekitar suis utama telah terbakar. Terdapat juga bunyi letupan kecil di sekitar kawasan suis elektrik utama yang terbakar.

Iklan

"Mujurlah, waktu tu hujan turun dengan lebat dan kawasan sekitar basah. Mungkin juga kalau keadaan kering, percikan api yang berlaku lebih mudah merebak dengan cepat ke gerai lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Jelas Suzana, kebakaran kecil itu berjaya dipadamkan anggota bomba sekitar jam 1 pagi manakala bekalan elektrik di kawasan berkenaan juga dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai langkah berjaga-jaga.

Keadaan suis utama gerai yang terbakar dipercayai akibat disambar kilat

Iklan

Suzana memberitahu, mereka bimbang kejadian seperti itu berulang memandangkan semua binaan di situ diperbuat daripada kayu manakala atap gerai pula menggunakan daun nipah.

"Kami tidak pernah berdepan kejadian seperti ini sejak berniaga di sini bermula 2019.

Sementara itu, seorang peniaga, Suri Abdul Ghani, 55, berharap gerai itu dapat kembali beroperasi memandangkan pengunjung akan bertambah pada hujung minggu.

"Hari ini, perniagaan di Dataran Batu Putih terpaksa ditutup kerana tiada bekalan elektrik. Kita harap bekalan elektrik dapat disambung semula secepat mungkin bagi meneruskan kembali operasi perniagaan.

"TNB akan membantu dari aspek pemasangan pendawaian yang selamat agar kejadian ini tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Dataran Batu Putih merupakan destinasi pelancongan terkenal kerana mengetengahkan pelbagai jenis makanan dan minuman tradisional Terengganu.

Kawasan itu mula dibuka kepada pengunjung pada September 2019 dan menjadi tarikan pelancong ke daerah tersebut berikutan keindahan lokasinya yang berada di tepi Sungai Marang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!