[VIDEO] Ibu berpantang redah asap tebal selamatkan keluarga

Iklan

TAIPING - Seorang wanita yang masih berpantang sanggup mengenepikan kesihatan dan keselamatan diri dengan meredah asap tebal bagi memastikan anak dan keluarganya terselamat dalam kebakaran di Kampung Baru dekat Kamunting dekat sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, Norcaswer Nordin, 37, yang baru melahirkan anak lelaki 14 hari lalu sempat berlari membawa bersama bayinya serta ibu dan bapa saudara keluar dari rumah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa kejadian, suami serta ahli keluarga lain tiada di rumah kerana bekerja.

"Kebetulan dua anak saya berusia 11 dan 10 tahun mahu ke sekolah agama dan nampak asap di rumah sebelah.

Norcaswer mengendong bayi lelakinya ketika ditemui di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Jana Sambungan pada Khamis.

Iklan

"Pada mulanya saya sangka hanya kebakaran biasa, tetapi tak lama asap tebal sudah memenuhi kawasan rumah hingga memecahkan dinding kayu, api pun mula menyambar beberapa bahagian rumah.

"Melihat keadaan itu, saya tak fikir tentang kesihatan diri dah, saya bawa bayi dan jerit panggil mak dan pak cik untuk segera keluar dari rumah," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Jana Sambungan pada Khamis.

Iklan

Kejadian itu mengakibatkan lapan deretan rumah hangus terbakar, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Kesemua 26 mangsa yang tinggal menyewa di situ tinggal sehelai sepinggang dan telah ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Jana Sambungan sejak jam 8 malam.

Deretan lapan kediaman musnah dalam kebakaran di Kampung Baru dekat Kamunting, Taiping pada Rabu.

Norcaswer berkata, api marak terlalu pantas menyebabkan dia dan mangsa lain tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Ibu kepada empat anak itu berkata, keperluan bayi termasuk sijil kelahiran yang baru siap diproses minggu lepas turut musnah dalam kebakaran terbabit.

"Tak mengapalah, paling penting semua ahli keluarga saya terselamat. Buat masa ini, saya mungkin tinggal di kediaman ibu bapa, sementara mencari rumah sewa lain," katanya.

Seorang lagi mangsa, R Krishna Priya, 28, berkata, api dipercayai bermula dari rumah di bahagian tepi dihuni warga asing sebelum merebak keseluruhan deretan kediaman itu.

Katanya, kebetulan keadaan cuaca panas dan angin kuat menyebabkan api marak dengan cepat dan turut berlaku beberapa letupan.

Kerja-kerja pembersihan dijalankan semasa tinjauan di lokasi kejadian.

"Waktu itu keadaan agak kelam kabut, ada jeritan minta semua orang lari keluar. Rumah saya hujung sekali jadi saya hanya sempat bawa keluar kereta sahaja," katanya.

Sementara itu, Che Su Mohd Nor, 25, berharap, pihak berkaitan dapat menyediakan penempatan atau rumah sewa sementara kepada semua mangsa.

Ibu tiga anak berusia 1 hingga 7 tahun itu berkata, semua mangsa terlibat rata-ratanya datang dari keluarga kurang berkemampuan dan menyewa di kediaman itu pada kadar antara RM80 hingga RM150 sebulan.

"Kami dimaklumkan hanya dibenarkan tinggal di PPS ini selama dua hari sahaja sehingga esok.

"Harap sangat ada pihak sudi menyewakan rumah dalam masa terdekat dengan harga berpatutan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!