Kelantan bukan lagi negeri tercorot, hampir bebas miskin tegar

Iklan
Jasri (tiga dari kanan) menyampaikan daging korban dan pek makanan kepada keluarga asnaf di Kota Bharu pada Khamis.

KOTA BHARU - Kelantan bukan lagi negeri di semenanjung yang berada di tangga tercorot apabila seramai 12,254 ketua isi rumah (KIR) berjaya dikeluarkan daripada kemiskinan tegar.

Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jasri Kasim berkata, jumlah terkini miskin tegar di Kelantan berkenaan hanya 16 KIR sekali gus menghampiri untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

Iklan
Iklan
Jasri

Menurut beliau, kejayaan dicapai hasil kerjasama semua pihak dalam tempoh singkat bermula akhir tahun lalu hingga 20 Jun 2024.

"Kelantan hampir menoktahkan miskin tegar yang dijangka dapat dicapai sepenuhnya pada Julai ini seperti mana yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

"Daripada keseluruhan 12,270 KIR miskin tegar dapat dikurangkan dengan tinggal hanya 16, menjadikan Kelantan bukan lagi di kedudukan paling corot tetapi mungkin keempat (miskin tegar) selepas Sabah, Sarawak dan Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha 1445H di ICU JPM negeri Kelantan, di Tunjong, di sini, pada Khamis.

Iklan

Menurut Jasri, perkembangan itu dicapai hasil pengemaskinian data-data KIR oleh jabatan berkenaan selain keberkesanan pensasaran pemberian bantuan kepada golongan sasar yang berkelayakan oleh kerajaan.

Jasri (tiga dari kiri) turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak asnaf yang hadir.

Kata beliau, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta agensi-agensi lain yang menyalurkan maklumat berkaitan.

"Ada KIR sebenarnya menerima bantuan-bantuan tetapi rekod mereka tidak dikemas kini, apabila diperiksa mereka sebenarnya mempunyai pendapatan melebihi paras kemiskinan tegar.

"Selainnya, mereka menyertai program-program peningkatan pendapatan dan padanan pekerjaan yang dilaksanakan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) seterusnya isi rumah seperti anak-anak KIR ini mendapat pekerjaan,” katanya.

Tambah beliau, berkenaan 16 KIR miskin tegar yang masih tinggal, pihaknya juga sedang gigih berusaha untuk memberi mereka pengetahuan dalam peningkatan pendapatan termasuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan agar sasaran menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini direalisasi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!