Baki penduduk Sungai Baru masih tidak berpindah

Iklan
Kampung Sungai Baru terletak berhadapan KLCC terlibat dalam projek pembangunan semula bagi kawasan berkenaan.

KUALA LUMPUR - Sebahagian penduduk rumah teres Sungai Baru Kampung Baru yang terlibat dengan projek pembangunan semula kawasan itu masih kekal berada di kediaman masing-masing meskipun notis merah membabitkan arahan pengosongan telah dikeluarkan Oktober lalu.

Seorang penduduk ditemui, Abdul Rahman Sulaiman, 54, berkata, mereka sekeluarga akan terus tinggal di kawasan tersebut sehingga ke titisan terakhir.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka akan kekal tinggal di sana sehingga tuntutan pampasan daripada RM450 sekaki persegi dinaikkan kepada RM1,200 didengar pemaju.

"Selagi boleh duduk kami akan duduk. Mak tak nak pindah jadi kami akan berjuang hingga ke titisan terakhir.

Iklan

"Kami masih harap pemaju dapat bayar pampasan yang diminta penduduk kerana pampasan sedia ada rendah, tidak setimpal dengan kedudukan lokasi hartanah di sini, berdepan KLCC," katanya ditemui ketika tinjauan Sinar Harian pada Khamis.

Tinjauan mendapati, lebih 10 keluarga dilihat masih berada di deretan rumah teres yang terlibat dengan pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu.

Iklan

Tidak kurang juga terdapat rumah yang telah dikosongkan dalam keadaan terkunci dan terbiar.

Antara penduduk yang belum mengosongkan kediaman.

Pada 11 Jun lalu, pemaju juga pihak berwajib melakukan tindakan pemotongan bekalan elektrik dan air menyebabkan penduduk yang enggan berpindah bergelap selama sehari.

Notis pengosongan telah dikeluarkan pada Oktober lalu dan pampasan ganti rugi kepada pemilik rumah teres terlibat telah dibayar Januari lalu.

Abdul Rahman berkata, masih terdapat 37 pemilik tidak bersetuju dengan kaedah pengambilalihan tanah itu dan menuntut pampasan setimpal iaitu RM1, 200 bagi satu kaki persegi dipertimbangkan pemaju.

Katanya, tindakan pemotongan elektrik dan bekalan air yang dijalankan pada 11 Jun lalu tidak melemahkan semangat untuk terus memperjuangkan tuntutan mereka.

Antara rumah penduduk yang telah dikunci.

"Kami tak jangka pemaju dan pihak berkuasa akan melakukan pemotongan pada hari kejadian susulan tidak menerima sebarang notis pemotongan berkenaan.

"Selepas campur tangan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan isu ini tular di media sosial barulah bekalan elektrik disambung semula sehari kemudian sementara bekalan air pula, kami sambung sendiri tanpa meter.

"Ketika ini kami sudah mula mencari rumah ganti kerana risau jika dihalau pada bila-bila masa melalui penguatkuasaan," katanya.

"Zaman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris banyak bantu kami penduduk setinggan dapatkan rumah namun selepas 54 tahun kami kembali menjadi setinggan untuk memberi ruang kepada pembangunan.

Antara kain pemidang yang dipasang penduduk.

"Keadaan kami kembali susah, walaupun dapat pampasan RM900,000 tapi terpaksa pula berkongsi dengan sembilan beradik disebabkan geran kongsi.

"Kemudian saya terpaksa keluar duit untuk beli unit strata di Setapak berharga RM300,000 untuk rumah ganti, rumah itu nanti akan diduduki 12 keluarga.

"Namun, jika pemaju bersetuju untuk menambah jumlah pampasan seperti diminta penduduk, saya cadang mahu membeli seunit rumah lagi supaya kami tidak perlu bersesak dalam satu rumah," katanya.

Katanya, pada mulanya pemaju menawarkan gantian tiga unit kondominium atas tanah sama namun ditolak kerana tidak yakin dengan keupayaan pemaju untuk melaksanakan projek tersebut.

"Kerajaan zaman dulu bagi kami tinggal di flat kemudian lepas rumah teres siap baru pindah. Cara itu baru betul.

Barangan yang telah dikemas bagi tujuan pengosongan.

"Bukan seperti sekarang belum buat projek sudah halau semua penduduk. Sekurang-kurangnya kami nak tengok keupayaan pemaju barulah ada keyakinan untuk sokong projek ini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ina, 60, berkata, dia terpaksa menumpang rumah dua anaknya selepas rumah peninggalan ibunya bakal dirobohkan kerana terlibat dalam projek tersebut.

Katanya, dia tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan tersebut namun tiada pilihan selepas projek itu mengambil kira persetujuan ramai.

"Tidak pernah menyewa sepanjang hidup tiba-tiba terpaksa mencari rumah untuk memberi laluan kepada projek pembangunan ini.

Notis pengosongan dikeluarkan Oktober lalu.

"Mujurlah anak saya dapat rumah PPR tahun lalu, terpaksa saya menumpang di sana, dan bergilir-gilir tinggal di rumah seorang lagi anak di Keramat.

"Walaupun dapat pampasan RM400,000 namun terpaksa kongsi dengan sembilan beradik, tak cukup membeli rumah di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, seorang lagi warga emas mahu dikenali Mai, 70-an berkata, walaupun masih tinggal di situ namun telah mengosongkan sebahagian barangan rumah sejak menerima notis pengosongan.

"Kebanyakan ahli keluarga telah membeli unit di Plaza Rah sementara saya masih kekal di sini sehingga benar-benar diarahkan berpindah.

"Saya ada beli rumah di Putrajaya pada 2020 namun lewat siap dan kunci diterima pada tahun ini. Rumah tersebut belum boleh diduduki kerana perlu ada beberapa proses yang belum diselesaikan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!