KUALA LUMPUR - Malaysia dan China telah mengesahkan usaha bersama untuk menjalankan pusingan penyelidikan baharu dalam perlindungan panda, sempena lawatan Perdana Menteri, China Li Qiang ke Malaysia yang berakhir pada Khamis.
Dalam satu kenyataan bersama Malaysia dan China yang dikeluarkan pada Khamis, pada penghujung lawatan Li ke Malaysia menyatakan bahawa usaha itu adalah bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dan mengukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik.
"Kedua-dua pemimpin mengharapkan untuk mencapai kemajuan dalam bidang ini,” menurut kenyataan bersama itu.
"Diplomasi Panda yang mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China telah memberikan manfaat signifikan menerusi beberapa pengiktirafan kepada Malaysia, selain meningkatkan reputasi Zoo Negara.
Panda Gergasi Fu Wa dan Feng Yi telah dipinjamkan oleh China kepada Malaysia pada 21 Mei 2014, sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik, pasangan itu kemudiannya melahirkan tiga anak: Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi (30 Mei 2021).
Pasangan Fu Wa dan Feng Yi, dilahirkan pada 23 Ogos 2006, di Pusat Panda Wolong, Sichuan, China, dan kemudiannya dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang.
Panda Gergasi yang merupakan khazanah negara China, mencerminkan keharmonian, persahabatan dan keamanan, telah menjadi sinonim dengan sejarah 5,000 tahun China.
Panda mudah dikenali dengan tompok hitamnya yang besar di sekeliling mata, di atas telinga dan di seluruh badannya yang gemuk dan ia merupakan satu bentuk jangkauan diplomatik untuk China.
Walau bagaimanapun, Panda Gergasi dan juga Harimau Malaya (Malaysia) dalam situasi sangat terancam ekoran kehilangan habitat kekal dan Malaysia dan China telah mengambil langkah serius termasuk usaha memulihara spesies terancam, yang berisiko untuk pupus itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!