Makan ubat sepanjang hayat untuk kawal tingkah laku hiper

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Megat Ahmad Shahrani)

SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) merekodkan peningkatan pelajar sehingga 30 peratus dalam kalangan kanak-kanak autisme yang memerlukan terapi dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Presidennya, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin bagaimanapun berkata, isu penempatan pelajar menjadi kekangan dalam memastikan pembangunan golongan itu mendapat perhatian sewajarnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, atas faktor tersebut juga, pusat terapi pintar berskala besar bagi komuniti autisme di negara ini menjadi keperluan mendesak pada masa ini, bukan hanya khusus untuk pembangunan kanak-kanak autisme tetapi juga demi kebajikan pesakit autisme dewasa.

"Dana sekurang-kurangnya RM70 juta diperlukan bagi mewujudkan kemudahan pusat terapi pintar ini selari dengan perkembangan semasa apabila kesedaran mengenai autisme semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, sedangkan kemudahan pusat terapi sedia ada masih terhad.

Iklan

Jelas beliau, pesakit autisme memerlukan penjagaan khusus dan pendekatan berbeza dan rumit berbanding golongan orang kurang upaya lain.

Katanya lagi, golongan ibu bapa yang mempunyai anak autisme berdepan cabaran amat sukar mengambil kira tingkah laku anak yang memerlukan perhatian sepanjang masa dan boleh mengundang tekanan kepada penjaga.

Iklan

"Ada anak autisme ni, bila hiper perlu diberi ubat dan kena makan ubat sampai akhir hayat untuk kawal kelakuannya.

"Mereka semakin membesar. Jika ibu bapa mereka sudah tiada, dan tiada waris yang ambil tanggungjawab, siapa nak jaga mereka?” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya kini sedang merangka kertas kerja dalam usaha menjadikan pusat terapi pintar yang dinamakan Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) di Kuala Kubu Bharu menjadi kenyataan.

"Kerajaan, masyarakat dan doktor-doktor pakar perlu sokong usaha ini kerana bebanan ibu bapa yang ada anak-anak autisme ini terlalu berat.

"Anak-anak autisme juga boleh berbakti masyarakat. Mereka ada bakat tersendiri dan memberi manfaat untuk masyarakat dan negara,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!