KAPTEN Argentina, Lionel Messi memecah rekod jumlah penampilan pusingan akhir Copa America apabila dia memulakan perlawanan ke-35 menentang Kanada dalam aksi Kumpulan A pada Jumaat.
Messi, penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Argentina dan pemain paling banyak beraksi, mendahului bekas penjaga gol Chile Sergio Livingstone, yang mencipta rekod pada 1953.
Pemain berusia 36 tahun itu membuat penampilan sulung Copa America pada usia 20 tahun pada 2007, memenangi kejuaraan itu pada 2021.
Sebagai rekod Messi telah menjaringkan 13 gol dan memberikan 17 bantuan gol di pentas Copa America.
Sementara itu, Argentina memulakan kempen Kumpulan A dengan langkah kanan apabila menang 2-0 ke atas Kanada dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta, Georgia.
Penyerang kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Julián Álvarez meletakkan penyandang juara itu di depan apabila meledak gol pada minit ke-49 selepas menyempurnakan sentuhan bintang Liverpool, Alexis Mac Allister.
Enjin gol kelab Serie A Itali, Inter Milan, Lautaro Martinez yang dimasukkan minit ke-79, tidak perlu menunggu lama untuk meledak jaringan kedua Argentina pada minit ke-88.
Argentina akan berdepan Chile dalam perlawanan kedua kumpulan di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey pada 26 Jun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!