PERBINCANGAN mengenai bapa atau ayah sangat jarang diketengahkan terutamanya berkaitan dengan pengorbanan dan perit jerih kaum itu dalam menyediakan keperluan nafkah secukupnya kepada ahli keluarga.
Bagi menghargai kaum bapa sempena Hari Bapa yang disambut pada hari Ahad minggu ketiga setiap bulan Jun itu, Sinar Islam Plus menemu bual pendakwah selebriti, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali Pencetus Ummah (PU) Amin.
Oleh sebab itu Islam sangat pentingkan peranan ayah seperti dinukilkan dalam al-Quran melalui surah Luqman.
"Dalam surah tersebut, ALLAH menceritakan mengenai Luqmanul Hakim dan beliau bukanlah seorang nabi atau rasul, bahkan hanyalah seorang bapa yang beriman kepada-NYA dan mendidik anak mengikut ajaran Islam.
"Beliau mendidik anak-anaknya dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik) dan itulah perjuangan seorang bapa.
"Surah Luqman memberi pemahaman yang cukup besar iaitu menjadi seorang bapa bukanlah mudah sekadar dengan kata-kata, bahkan ia menuntut perjuangan yang besar walaupun suami isteri itu sudah bercerai,” katanya.
Tauhid, adab diajarkan kepada anak
Mengenai inti pati penting yang disampaikan dalam surah Luqman, PU Amin menjelaskan, perkara yang paling ditekankan dalam didikan anak-anak adalah tauhid iaitu mengenal ALLAH dan jangan syirik kepada-NYA.
"Tanggungjawab bapa bukan sekadar memberi keampuhan dan keutuhan dari sudut ekonomi, kesenangan dan tempat tinggal, namun apa yang paling penting ialah ilmu yang kamu sampaikan kepada anak-anak dan isteri.
Bukan itu sahaja katanya, Luqmanul Hakim juga mengajar akhlak kepada anaknya melalui ayat ke-19 surah itu.
"Luqmanul Hakim mengajarkan kepada kepada kita apabila berjalan, jangan berjalan dengan cara yang sombong dan tunduk. Ini adalah adab.
"Anak memerlukan pendedahan akhlak yang baik. Jangan pula mak ayah membiarkan anak-anak dengan perbuatan tak sepatutnya. Jika diabaikan aspek akhlak dan adab ini, kelak anak-anak akan menjadi mangsa,” katanya.
Perancangan kewangan ketika hidup, selepas meninggal
Menyentuh mengenai perancangan kewangan seorang bapa kepada anak dan isterinya, PU Amin menjelaskan, masyarakat masih belum sedar akan simpanan atau pelaburan yang perlu dibuat dari sudut perlindungan diri dan tabungan untuk kecemasan.
"Bahkan umat Islam di negara kita dilihat lebih sanggup menebalkan mukanya untuk meminta sedekah berbanding menabung.
"Pemikiran ini salah dan kita masih terkebelakang dalam hal ini,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan, tabungan simpanan perlu dibuat sekarang.
"Baginda SAW bersabda: "Sesungguhnya jika kamu meninggalkan waris kamu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
"Sekarang ini ada sistem takaful serta hibah dan ini juga tuntutan serta tanggungjawab seorang ayah untuk meninggalkan keluarga dengan selamat iaitu tidak dihina masyarakat dan tidak merempat,” hurainya.
Menurutnya, simpanan atau pelaburan melalui takaful dapat menghapuskan kemiskinan dalam keluarga itu sendiri selain membantu diri dan keluarga selepas meninggal dunia nanti.
Mengulas mengenai takaful, PU Amin menjelaskan, ia merupakan cetusan dalam agama Islam itu sendiri berdasarkan ayat kedua surah al-Maidah.
"Dalam takaful kita boleh terus berbakti selagi kita mencarum dan duit kita yang digunakan orang lain itu akan terus mengalirkan pahala kepada kita.
"Mungkin kita akan selamat di Padang Mahsyar kelak dengan sebab kita mencarum takaful. Ia digunakan untuk membantu orang lain di dunia dan menyelamatkan kita di akhirat,” hurainya.
Menurut PU Amin, tanggungjawab bapa sebenarnya sudah selesai apabila dia menghembuskan nafas terakhirnya.
"Bagaimanapun, dia boleh meneruskan perjuangannya sebagai bapa dengan meninggalkan harta kepada ahli keluarga.
Tambahnya, perjalanan ahli keluarga yang ditinggalkan masih panjang dan harta melalui hibah inilah yang akan memberi manfaat kepada mereka kelak.
"Oleh sebab itu seorang ayah kena ambil cakna dan ada kesedaran yang sungguh-sungguh. Jangan sia-siakan peluang ini ketika masih hidup,” katanya.
Ulasnya, ahli keluarga juga perlu mengingatkan bapa agar tidak terlupa dalam merancang kewangan semasa hidup dan selepas dia tiada.