15,325 kandungan lucah, jelik diturunkan - SKMM

Iklan
SKMM menurunkan dan menyekat 15,325 kandungan berunsur lucah, sumbang dan jelik sejak Januari.(Gambar hiasan) Foto 123rf

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menurunkan 15,325 kandungan berunsur lucah, sumbang dan jelik sejak Januari.

Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu susulan aduan awam dan pemantauan secara proaktif oleh pihaknya.

Iklan
Iklan

Katanya, SKMM melaksanakan usaha advokasi dan kesedaran untuk mendidik masyarakat bagi memperkukuhkan sifat kebertanggungjawaban dalam penghasilan dan penyebaran sebarang kandungan di media sosial.

"Usaha tersebut dijalankan menerusi inisiatif Klik Dengan Bijak di seluruh negara dan program-program di bawah inisiatif Sukarelawan ICT Malaysia dalam membangunkan rohaniah individu dan negara yang lebih positif dan kukuh.

Iklan

"SKMM mengambil serius isu penyalahgunaan kemudahan Internet dan bertindak proaktif terhadap perkara yang hangat diperkatakan dalam persekitaran media sosial di Malaysia, meliputi kepentingan awam, jenayah, salah guna, ancaman, provokasi, dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, tindakan yang diambil meliputi aspek penguatkuasaan, pemantauan dan penurunan kandungan serta bantuan teknikal kepada agensi penguatkuasa berkaitan.

Iklan

Jelas SKMM, berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), pihaknya boleh menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 sekiranya sesuatu kandungan adalah lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik sifatnya.

Mengulas mengenai pemilik akaun media sosial yang membuat serangan peribadi terhadap pemain bola sepak tempatan, SKMM memaklumkan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan berhubung isu yang dibangkitkan.

"Namun, jika terdapat aduan yang dikemukakan, perkara berkenaan akan diteliti sebelum tindakan selanjutnya diambil," ujarnya.

Justeru, SKMM mengingatkan pengguna agar sentiasa mengamalkan kawalan kendiri ketika menggunakan internet serta tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan dengan sewenang-wenangnya.

"Pengguna juga diingatkan agar kandungan atau hantaran yang dimuat naik tidak melampaui batas nilai agama, budaya dan perundangan serta menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya.

April lalu, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan tiga suspek di Kedah dan Johor yang aktif memuat naik kandungan aktiviti bertukar pasangan (swinger) secara dalam talian.

Selain itu, seorang wanita yang disyaki mempromosi aktiviti seks dan menjual video melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki di sosial media ditahan polis dalam serbuan di kediaman mewahnya di Bandar Bukit Mahkota, Bangi pada 6 Jun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!