Bapa misali tunjang keluarga bahagia dunia, akhirat

Iklan
BAPA merupakan nakhoda kapal yang memimpin keluarga dalam menentukan arah yang betul kapalnya berlayar sehingga ke kiblat rumah tangga yang sakinah (aman), mawaddah (kasih sayang) dan rahmat. Foto CANVA

TIADALAH sebaik-baik bapa sebagai contoh dan ikutan kita melainkan para nabi dan rasul terutamanya junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW.

"Baginda SAW merupakan insan paling agung dalam sejarah yang pernah menjadi bapa kandung dan bapa angkat yang paling baik dijadikan contoh teladan,” demikian tutur Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman ketika ditemu bual Sinar Islam Plus.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Nabi Muhammad SAW juga seorang bapa yang ringan tulang dan sering membantu isterinya dalam menguruskan rumah tangga tanpa dipinta selain mengambil perhatian, memuliakan dan menjaga hubungan baik dengan kaum kerabatnya.

PROF MADYA DR ZAIZUL

Iklan

"Rasulullah SAW memiliki hubungan yang sangat baik dengan anak-anaknya. Beliau menunjukkan kasih sayang, perhatian dan peduli terhadap mereka termasuk kepada zuriat anaknya (cucu nabi) iaitu Hasan dan Husain," jelasnya.

Ciri-ciri bapa misali

Iklan

Mengulas mengenai ciri-ciri bapa misali atau terbaik menurut Islam, pensyarah itu merumuskan beberapa ciri yang dipetik dari al-Quran dan hadis. Antaranya:

1 - Bapa tunjang keluarga bahagia dunia dan akhirat.

"Oleh itu, kedudukan seorang bapa amat dimulikan dalam Islam sebagaimana kedudukan ibu sehingga diingatkan ALLAH SWT dalam ayat ke-23 surah al-Israk:

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa.”

"Dalam ayat keenam surah at-Tahrim: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”

2 - Pembimbing dan pagar yang bersifat pelindung keluarga dari bahaya dunia dan akhirat.

Melalui bimbingan para bapalah, isteri dan anak-anak dapat diajar dan dibentuk supaya sentiasa disuburkan perasaan untuk taat kepada Allah, tidak menganiaya sesama manusia, selalu bertimbang rasa dan bersifat rahmah kepada semua.

"Terdapat dialog-dialog yang dirakamkan dalam al-Quran antara bapa dan anak yang menggambarkan betapa pentingnya kedudukan seorang ayah sebagai watak utama dalam pendidikan anak-anak. Antaranya ayat ke-13 surah Luqman:

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya: Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan (ALLAH) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Tambahnya, bapa juga berperanan sebagai pelindung kepada keluarganya. Seorang bapa bertanggungjawab dalam memastikan ahli keluarganya sentiasa berada dalam persekitaran yang sihat dan selamat.

MELALUI bimbingan bapalah, isteri dan anak-anak dapat diajar dan dibentuk supaya sentiasa disuburkan perasaan untuk taat kepada ALLAH. Foto CANVA

3 - Memberi nafkah halal.

Peranan utama para bapa yang dirakamkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran menerusi ayat ketujuh surah at-Talak adalah untuk mereka mencari dan memberikan nafkah kepada ahli keluarganya:

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah daripada apa yang diberikan ALLAH kepadanya (sekadar yang mampu).”

"Nafkah para bapa kepada ahli keluarga dalam bentuk menyediakan keperluan ekonomi.

4 - Bapa menjadi lelaki yang kuat dan ketua keluarga yang tidak dayus serta amat bertanggungjawab kepada kebahagiaan isteri dan anak-anak dalam membentuk ‘rumahku syurgaku’.

Selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Menurut Dr Zaizul, bapa misali mampu membentuk acuan terbaik untuk anak-anak ke arah kecemerlangan di dunia dan akhirat dalam menghadapi cabaran semasa yang kritikal.

NAFKAH bapa kepada ahli keluarga dalam bentuk menyediakan keperluan ekonomi selain didikan ilmu agama sejak kecil. Foto CANVA

Tambahnya lagi, bapa mestilah sentiasa ke hadapan dalam ilmu mendidik anak agar tidak menjadi terlampau ‘old school’ seperti pandangan tokoh ilmuan Socrates iaitu seperti dinukilkan Imam Ahmad Asy-Syahrastani dalam kitabnya Al-Milal wa al-Nihal:

"Justeru, bapa misali adalah penggerak kepada kemajuan anak-anak. Susuk tubuh ini bukan sahaja dapat cemerlangkan diri dengan sentiasa menambah ilmu kebapaan, tetapi cemerlangkan anak-anak.

"Setiap bapa perlu merebut peluang menjadi ibu bapa misali yang membawa anak-anak kepada kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat,” katanya.