[VIDEO] 'Kenapa buat anak aku macam itu'

Iklan

IPOH - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan membunuh anak angkatnya.

Tertuduh Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 27, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah di Taman Malcop, di sini di antara 5 hingga 10 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Iman Adelia Yusullah, 5.

Perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Iklan

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa.

Wan Fatimah Zahra (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan membunuh anak angkatnya. Siti Nurhidayatul Akmar (kanan) menunjukkan gambar anaknya ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Majistret Ipoh di sini pada Jumaat.

Majistret, S Punitha kemudiannya menetapkan tarikh 28 Ogos depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, ibu kandung kanak-kanak malang itu yang hadir ke mahkamah tidak dapat menyembunyikan rasa marah terhadap tertuduh.

"Kenapa buat anak aku macam itu," itu kata-kata yang keluar dari mulut Siti Nurhidayatul Akmar Mohd Zamry, 28, selepas melihat tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah.

Suasana hiba turut menyelubungi luar mahkamah apabila beberapa ahli keluarga kanak-kanak tersebut menangis.

Sementara itu, nenek kanak-kanak tersebut, Zanuriyah Mohd Madzlan, 65, yang ditemui pemberita mengharapkan keadilan buat arwah cucunya itu.

Dia bersama anaknya hadir dari Felda Chini 2, Pahang bagi mengikuti pendakwaan tersebut.

Pada 11 Jun lalu, media melaporkan pasangan suami isteri ditahan polis kerana disyaki mendera anak angkat perempuan mereka berusia lima tahun hingga maut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan itu dilakukan selepas menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Menurutnya, pihak hospital menerima seorang kanak-kanak perempuan di Wad Kecemasan Zon Merah untuk resusitasi namun disahkan meninggal dunia.

Jelasnya pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa terdapat kesan lebam di seluruh anggota badan disyaki dipukul dengan objek tumpul selain terdapat kesan luka koyak dan lebam pada vagina dan dubur mangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!