SHAH ALAM - Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menunjukkan bukti pernah menolak untuk hadir ke siaran ‘podcast’ Yang Bakar Menteri (YBM) oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kerana tetap dengan pendirian mahu berdebat dalam gelanggang neutral.
Isham berkata, pihaknya sudah berkali-kali mengajak Rafizi untuk berdebat secara langsung dengan membentangkan hujah dan jalan penyelesaian tentang isu ekonomi negara di hadapan rakyat.
Menurutnya, banyak pihak memaklumkan bersedia untuk menjadi hos bagi program debat terbuka itu.
"Rafizi, kan saya sudah cakap mahu debat bukan datang ‘podcast’ kamu dengar celoteh berjam-jam, itu buang masa. Kamu tak faham bahasa kah? Buat apa saya nak popularkan ‘podcast’ kamu? Itu lagi buang masa.
"Saya sudah ajak dan kamu takut untuk berdebat dengan saya, yang kamu berani adalah ajak orang masuk kampung macam samseng Kampung Dusun dan bergaduh di gelanggang sendiri.
"Tetapi, apabila diajak debat di tempat neutral kamu takut," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Rafizi pernah menjemput beberapa ahli politik dan pempengaruh sejak Februari lalu ke sesi ‘podcast’ malah ia disambut baik kecuali Isham sahaja.
Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan perkara berkenaan sebagai respons kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang memintanya tidak memberikan alasan untuk mengelak daripada bertemu Isham, pempengaruh media sosial, Lim Sian See dan ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Justeru, Isham memaklumkan, pihaknya sekali lagi menjemput Rafizi untuk berdebat di samping moderator yang neutral dan menjawab segala soalan daripada rakyat.
"Kamu bentangkan formula kamu dan saya bentangkan solusi saya, jika berani jawab segera.
"Sudah keluar hospital lama, harap jantung dan kesihatan kamu sudah baik serta jangan beri banyak alasan lagi," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!