Terus beri kepercayaan kepada Assifuah

Iklan
Kejayaan Assifuah (kiri) ledak hatrik semasa bantu KDA FC tewaskan Bukit Tambun FC pada aksi kalah mati Piala FA 2024-2025 meningkatkan keyakinan pemain tersebut. Foto KDA FC

HATRIK yang dilakarkan oleh penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ebenezer Assifuah semasa membantu menewaskan Bukit Tambun FC dengan keputusan 5-0 pada pusingan 16 Piala FA 2024-2025 menggembirakan penyokong pasukan tersebut.

Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda), Nor Hasmadi Hamzah berharap barisan kejurulatihan KDA FC akan mempertimbangkan untuk terus menurunkan penyerang tersebut pada aksi penting liga super derbi utara bertemu Penang FC pada Sabtu ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keyakinan pemain tersebut berada pada tahap yang baik dan merupakan pilihan terbaik selepas Syafiq Ahmad di posisi serangan selain Milos Gordic.

"Kami harap pasukan tidak akan ‘peram’ Assifuah selepas pemain itu cemerlang dengan tiga jaringan pada saingan Piala FA. Pemain itu perlu terus diberikan kepercayaan dalam bertemu pasukan lebih besar di peringkat saingan Liga Super pula,” katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Jelas Nor Hasmadi, aksi derbi utara di Stadium Bandaraya bakal menjadi salah satu perlawanan tumpuan minggu ini sebelum kedua-dua kelab bakal bertemu lagi pada aksi timbal balik suku akhir Piala FA pada 28 Jun dan 5 Julai.

Sementara itu, Ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain melihat prestasi yang ditunjukkan oleh penyerang dari Ghana itu semakin baik dan perkara tersebut memberikan berita gembira buat Sang Kenari dalam memperkukuhkan jentera serangan.

Iklan

"Jaringan hatrik yang dilakarkan oleh Assifuah ini meningkatkan lagi keyakinan buatnya. Selepas ini dia akan lagi berkeyakinan dan perkara ini bukan sahaja bagus untuk dirinya tetapi juga kepada pasukan,” katanya mengulas prestasi semasa pemain berusia 31 tahun itu.

Assifuah merupakan tonggak import terakhir yang dibawa masuk beberapa hari sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia 2024-2025 ditutup dan dia dilihat semakin serasi dengan pasukan tersebut.

Pada musim lalu, pemain tersebut telah memperkuatkan KDA FC B dan berjaya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak saingan edisi sulung Piala MFL 2023 dengan 16 jaringan.

Assifuah diberi saingan sengit oleh pesaing terdekatnya iaitu pemain JDT II, Gabriel Nistelrooy yang mencetak sebanyak 13 gol.

Kejayaan yang diraih oleh pemain tersebut menyaksikan rata-rata penyokong Sang Kenari mahu dirinya diberi peluang untuk memperkukuhkan jentera serangan skuad utama di bawah kendalian Nafuzi pada musim ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!