Peralihan kepada model dwirangkaian 5G bermula hari ini - Fahmi

Iklan
Fahmi

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memulakan proses menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (MNO) yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia bermula hari ini.

Menteri berkenaan, Fahmi Fadzil berkata, ini termasuk mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon (AIP) pada 1 Julai 2024.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, proses ini akan dilaksanakan secara telus berdasarkan kuasa dan peruntukan yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kementerian Komunikasi menyambut baik pengumuman daripada pihak Digital Nasional Bhd (DNB) berkenaan penyempurnaan syarat-syarat duluan bagi Perjanjian Langganan Saham (SSA) bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications untuk memegang saham dalam DNB.

Iklan

"Ini merupakan antara langkah utama ke arah peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

DNB dalam kenyataan semalam mengesahkan kesemua syarat duluan yang terkandung di bawah SSA berjaya dipenuhi pada 20 Jun 2024.

Iklan

Menurut DNB, ini merupakan pencapaian penting berkenaan SSA dengan empat pengendali MNO di Malaysia iaitu CelcomDigi Bhd melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd melalui YTL Power International Bhd.

Sementara itu, Fahmi berkata, kementerian komited bagi melaksanakan keputusan kerajaan agar negara beralih kepada model dwirangkaian 5G dalam usaha untuk menamatkan unsur monopoli perkhidmatan 5G, sekali gus memacu hala tuju industri telekomunikasi yang lebih berdaya saing dan mapan.

"Pelaksanaan rangkaian 5G kedua ini akan dapat membantu usaha untuk meningkatkan liputan 5G, mewujudkan persaingan sihat dalam sektor telekomunikasi serta memastikan harga pelan dan mutu perkhidmatan 5G yang baik untuk rakyat,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!