KPKM sedia bantu Orang Asli tanam durian skala besar

Iklan
Mohamad (dua dari kiri) turut menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Program Walkabout di Dewan Terbuka Kampung Sungai Raba di sini pada Jumaat.

GERIK - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia membantu masyarakat Orang Asli untuk mengusahakan tanaman durian dalam skala besar di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini kebanyakan tanaman pertanian yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli dilaksanakan secara kecil-kecilan dan ia berpotensi untuk dikembangkan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penanaman durian dilihat mempunyai potensi besar untuk diusahakan oleh masyarakat Orang Asli memandangkan permintaan tinggi untuk dieksport ke luar negara khususnya di China.

"Saya nampak masa depan di antaranya kawasan pedalaman ini, selain tanaman-tanaman yang sedia ada, kena ada tambahan satu lagi iaitu tanaman durian yang kita tahu durian ini ada masa depan yang cerah. Kita sekarang sudah boleh eksport nangka, durian secara segar ke China.

Iklan

"Oleh itu sebarang pengeluaran pertanian, kalau kita urus dengan baik, dapat kita pasarkan sekaligus menambah pendapatan rakyat dan negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Walkabout di Dewan Terbuka Kampung Sungai Raba di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan), Johari Abdullah dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Mohamad (dua dari kanan) beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli sempena Program Walkabout di Dewan Terbuka Kampung Sungai Raba di sini pada Jumaat. Foto Bernama

Iklan

Mohamad berkata, bagi menjayakan usaha itu, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam membantu masyarakat Orang Asli mengusahakan tanaman berskala besar.

Menurutnya, pegawai pertanian di peringkat persekutuan dan negeri juga akan turut bersama-sama membantu melihat pelbagai keperluan masyarakat Orang Asli dalam sektor pertanian.

"Kita akan bincang dengan pegawai-pegawai di peringkat negeri berkaitan dengan Orang Asli sendiri supaya dapat mengusahakan pertanian pada skala besar. Salah satu masalah yang dihadapi adalah ancaman gajah.

"Bagaimana hendak mengatasi itu kena bincang sama ada secara berpagar atau menggunakan bahan kimia untuk menghalau gajah itu bergantung kepada pihak di sini. Yang pentingnya kerjasama Jabatan Pertanian Perak dan Persekutuan perlu ada hubungan baik dengan masyarakat Orang Asli," katanya.

Pada Khamis, media melaporkan bahawa Mohamad menyarankan semua pengusaha durian tempatan khususnya golongan bumiputera memulakan penanaman buah berkenaan dalam skala besar bagi membolehkan dipasarkan ke China antara lima hingga enam tahun lagi.

Jelasnya, usaha itu perlu dimulakan dari sekarang susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China.

Beliau berkata kejayaan pemeteraian antara kedua-dua negara perlu dimanfaatkan kerana aktiviti pengeksportan durian merupakan perniagaan yang bernilai tinggi dan membantu meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!