Kongres Kanser Kebangsaan 2024 dilancar

Iklan
Dr Dzulkefly melawat reruai dan pameran kesihatan mengenai kanser selepas merasmikan Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia (NCCM 2024) di Universiti Sunway pada Jumaat.

SUBANG JAYA - Kongres Kanser Kebangsaan 2024 (NCCM 2024) oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Universiti Sunway telah dilancarkan bagi membincangkan usaha, cabaran serta peluang dalam memerangi kanser di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, NCCM 2024 merupakan platform khas buat golongan pakar, ahli penyelidik, penceramah antarabangsa dan pembuat dasar dari rantau Asia Pasifik untuk membincangkan perkara berkenaan secara terperinci.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kongres itu bukan percubaan pertama NCSM untuk mengorak langkah ke persidangan yang lebih besar memandangkan pernah menjadi tuan rumah bagi Kongres Kanser Dunia pada 2018 lalu.

"Sebelum ini, dalam ucapan saya menyebut bahawa Malaysia perlu mengalihkan tumpuannya untuk mengawal rawatan barah dan penyakit tidak berjangkit (atau NCD) daripada reaktif ke proaktif atau ‘pencegahan’.

Iklan

"Itulah yang kami lakukan sejak dahulu dengan pemeriksaan yang mantap, vaksinasi dan mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya ketika merasmikan NCCM 2024 di sini pada Jumaat.

Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Jun itu dihadiri beberapa delegasi tempatan dan antarabangsa dari Brunei, China, Jepun, Qatar, India, Oman serta United Kingdom.

Iklan

Dzulkefly turut memaklumkan, berdasarkan laporan Globocan 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dianggarkan sebanyak 19.3 juta kes baharu kanser (dari segi kejadian), 9.9 juta kematian dan 50 juta orang menghidap kanser dalam tempoh lima tahun selepas didiagnosis.

Tambah beliau, Malaysia juga tidak terkecuali kerana jumlah kes kanser yang dilaporkan meningkat sebanyak 46.5 peratus antara 2017 hingga 2021 berbanding 2012 hingga 2016.

Justeru, menurut beliau, NCCM 2024 sejajar dengan pelan strategik Program Kawalan Kanser 2021-2025 dalam usaha menangani pencegahan dan mengawal kes barah secara holistik.

"Dengan memupuk kerjasama dan pertukaran pengetahuan di kalangan pakar dan pihak berkepentingan, saya yakin kongres ini pasti mampu menyumbang kepada kejayaan NCCM 2024.

"Melalui pelan strategik ini juga, Malaysia kini berusaha ke arah pembangunan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru iaitu kerjasama melibatkan penjawat awam, pihak swasta dan sektor ketiga dalam pencegahan serta kawalan kanser paru-paru,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!