PUTRAJAYA - Seorang suri rumah dan bekas kekasihnya yang didapati bersalah membunuh suami wanita itu ketika mangsa sedang tidur 12 tahun lalu terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat menggantikan hukuman mati mereka dengan penjara 36 tahun.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan K. Annamah, 47, dan G. Puganeswaran, 34, di bawah Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Tengku Maimun, yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan, turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 17 Februari 2012 serta mengarahkan Puganeswaran disebat sebanyak 12 kali.
Terdahulu, peguam A. Saha Deva memohon hukuman mati terhadap Puganeswaran diketepikan kerana anak guamnya tidak berada di lokasi ketika kejadian sebaliknya insiden itu hanya melibatkan Annamah dan empat remaja lain.
"Tidak ada bukti yang menunjukkan kewujudan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikatakan diguna untuk membayar remaja bawah umur itu," katanya yang memaklumkan mahkamah bahawa Annamah turut didera oleh si mati.
Peguam, Wan M.Razali Wan A.Kadir pula berkata, peranan Annamah adalah minimal kerana anak guamnya hanya memberi isyarat dengan membuat ‘missed call’ kepada Puganeswaran sebelum membuka pintu rumah untuk membenarkan keempat-empat remaja bawah umur itu masuk.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati atas alasan pembunuhan mangsa telah dirancang dengan teliti malah Annamah mengkhianati perkahwinannya apabila menjalin hubungan dengan Puganeswaran.
"Pembunuhan ini dilakukan melalui konspirasi dengan memanipulasikan empat remaja bawah umur untuk melakukan rancangan jahat mereka dan Puganeswaran menjanjikan bayaran RM5,000 sebaik sahaja mereka selesai melakukan kerja dan bayaran itu dibuat menggunakan simpanan KWSP si mati," katanya yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol.
Pada 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas Puganeswaran dan Annamah bagi kesalahan membunuh pemandu lori G Ganesan, 31, dengan menikam mangsa yang sedang tidur dalam bilik sebuah flat di Petaling Jaya pada 2.47 pagi 16 Februari 2012.
Hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, masing-masing pada 2018 dan 2020. - Bernama