ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) melaporkan jumlah kes daftar penyakit Leptospirosis (kencing tikus) bermula 12 Januari hingga 8 jun lalu di negeri ini meningkat 18 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismuni Bohari berkata, jumlah kumulatif tersebut membabitkan 105 kes daftar melalui ujian serologi positif jangkitan penyakit leptospirosis dengan satu kematian berbanding 89 kes pada tahun lalu.
Menurutnya, daripada jumlah 105 kes daftar, 32 kes telah disahkan dengan ujian Microscopic Agglutination Test (MAT) manakala 16 kes masih menunggu keputusan makmal.
"Susulan jangkitan kes leptospirosis yang telah mengunjungi Taman Eko Rimba Lata Bayu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling telah menjalankan siasatan dan penilaian risiko di pusat rekreasi tersebut, di mana sampel air dan tanah telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam (MKA) Ipoh.
"Sebagai langkah kawalan, Taman Eko Rimba Lata Bayu telah ditutup oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bermula 17 Jun 2024 sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas Dr Ismuni, nasihat kesihatan juga telah diberikan kepada semua pengunjung Taman Eko Rimba berkenaan.
Menurutnya, leptospirosis merupakan sejenis penyakit zoonotik iaitu penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia yang disebabkan oleh bakteria Leptospira.
"Manusia boleh dijangkiti melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada bahan tercemar termasuk air, tanah, dan makanan ataupun jika tertelan bahan-bahan tercemar tersebut.
"Pelbagai haiwan liar dan domestik boleh menjadi perumah kepada bakteria Leptospira antaranya adalah tikus, kucing, anjing, lembu, babi, arnab, kuda, dan sebagainya," ujarnya.
Tambah beliau, leptospirosis adalah endemik di negara beriklim tropika termasuk Malaysia dan tempoh pengeraman adalah antara dua hingga 30 hari.
Menurutnya, gejala jangkitan penyakit itu adalah demam, menggigil, sakit badan, sakit otot, sakit kepala, batuk tidak berkahak, loya, muntah, dan cirit-birit.
"Jabatan ini akan terus memantau perkembangan terkini kejadian leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan semasa mengunjungi pusat rekreasi dan jika bergejala setelah mengunjungi pusat rekreasi, perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran," katanya lagi.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan dua pengunjung yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Kedah selepas disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus ketika berkunjung ke Taman Eko Rimba Lata Bayu, Baling, dilaporkan stabil.
Exco Kesihatan, Perumahan, Kerajaan Tempatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, pihaknya juga tidak menerima maklumat tentang mangsa baharu setakat ini.
Beliau berkata, pengunjung yang mengunjungi pusat peranginan dan mempunyai simptom penyakit tersebut dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!