KUALA LUMPUR - Pembantu kedai dan gerai medan selera di kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah pusat beli-belah di Taman Melati, di sini, dikejutkan dengan kehadiran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pada Jumaat.
Serbuan Op Selera dan Op Belanja itu dilaksanakan sepasukan JIM Kuala Lumpur bermula jam 3 petang.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi terbabit telah memeriksa 23 individu di sekitar premis.
Menurutnya, hasilnya seramai 16 PATI ditahan termasuk tiga wanita yang masing-masing membabitkan 10 warga Bangladesh, Indonesia (4), India (1) dan Pakistan (1).
"Selain itu, kita turut menahan dua lelaki tempatan berusia 40-an dipercayai merupakan majikan yang menggajikan PATI terbabit," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, penahanan majikan ini bagi membantu siasatan kes terbabit.
Tambahnya, kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan soal siasat.
"Pemilik-pemiik premis dan majikan diingatkan supaya tidak menggajikan PATI atau warga asing yang tiada dokumen perjalanan yang sah.
"Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melindungi pendatang tanpa izin atau membenarkan, memasuki dan berada di dalam premis tanpa dokumen yang sah,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!