BEAUFORT - Objek besi yang mencurigakan ditemui di dalam tanah rupanya sebutir bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua di Kampung Batu 61 Monternior di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, bom jenis Artillery Shell 105mm seberat 11 kilogram ditemukan oleh seorang penduduk kampung berhampiran rumahnya sebelum bertindak memaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, pengadu yang juga seorang wanita berusia 57 tahun datang sendiri ke balai polis untuk membuat laporan berhubung penemuan bom lama tersebut.
Menurut pengadu, pada 6 Mei lalu adiknya telah mengorek tanah menggunakan jengkaut untuk membuat jalan di kawasan tersebut.
"Selepas kira-kira sebulan kemudian, tanah tersebut telah terhakis kerana hujan dan pada 17 Jun lalu pengadu ternampak satu objek besi.
"Pada hari ini pengadu sekali lagi pergi melihat objek tersebut dan mengesyaki ia adalah sebuah bom lama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Ismail berkata, sepasukan anggotanya bersama Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ke lokasi kejadian untuk melakukan tinjauan awal dan kawalan keselamatan.
"Pihak polis telah memasang pita penghalang dan menempatkan anggota di lokasi untuk kawalan keselamatan sementara menunggu pasukan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.
"Bom lama tersebut dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua jenis Artillery Shell 105mm berukuran panjang 43 sentimeter dan ukur lilit 30 sentimeter," katanya.
Ismail berkata lagi, kerja memusnahkan bom lama itu segera dilakukan dan selesai pada jam 5.20 petang oleh Unit Pemusnah Bom IPK Sabah dengan dibantu Unit Pemusnah Bom IPD Beaufort.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!