Rasuah: Timbalan Pendakwa Raya dipenjara setahun, denda RM250,000

Iklan
Gambar hiasan

TAWAU - Seorang Timbalan Pendakwa Raya dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah atas pertuduhan meminta suapan untuk menyelesaikan kes mahkamah, sembilan tahun lepas.

Hakim, Jason Juga membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Kamalia Yahdi, 41, di akhir kes pembelaan.

Iklan
Iklan

Mahkamah juga turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman 24 bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Iklan

Mengikut pertuduhan, Kamalia yang bertugas di Jabatan Peguam Negara Sabah Cawangan Tawau didakwa meminta suapan RM50,000 daripada dua individu sebagai dorongan menarik balik kes TWU-83-54/3-2015 dan TWU-83-76/4/2015 yang dibicarakan di Mahkamah Majistret Tawau.

Kesalahan itu dilakukan di Cafe@7 Hotel Promenade, Tawau, kira-kira jam 5 petang pada 15 Mei 2015, mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Iklan

Kesalahan di bawah seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat serta Siti Amirah Muhammad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Arthur Borine.

Kamalia sebelum ini dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Jan 2016. - Bernama