Ukraine nyalakan kembali peluang ke pusingan 16

Iklan
Yaremchuk merikan jaringan bersama Oleksandr Zinchenko selepas meledak jaringan di Duesseldorf Arena, Duesseldorf. Foto: AFP

UKRAINE menyalakan semula harapan mara ke pusingan 16 terbaik Euro 2024 selepas bangkit ketinggalan satu gol bagi menewaskan pasukan sensasi Slovakia, 2-1.

Perlawanan Kumpulan E yang berlangsung di Dusseldorf Arena itu, Slovakia terlebih dulu memimpin permainan menerusi pemain kelab liga Slovakia, Slavia Prague, Ivan Schranz pada minit ke-17.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Slovakia kendalian Francesco Calzona yang mengejutkan Belgium, 1-0 di Deutsche Bank Park, Dortmund pada 18 Jun lalu gagal melebarkan jaringan selepas itu.

Separuh masa kedua, angkatan Serhiy Rebrov yang diaibkan Romania 3-0 di Allianz Arena kembali memperkemaskan permainan mula mendapat rentak.

Iklan

Hasilnya, Ukraine menterjemahkan kebangkitan dalam bentuk jaringan pemain kelab liga Ukraine, Dynamo Kiev, Mykola Shaparenko pada minit ke-56.

Pemain gantian, Roman Yaremchuk yang menyarung jersi kelab La Liga Sepanyol, Valencia muncul wira apabila meledak jaringan kemenangan pada minit ke-80 selepas dibawa masuk minit 67.

Iklan

Ukraine akan berdepan Belgium di MHP Arena manakala Slovakia menanti Romania di Deutsche Bank Park pada 27 Jun.