KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan bahawa kerajaan tidak menarik subsidi diesel, sebaliknya subsidi dahulu yang dinikmati secara pukal telah disasarkan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN, Datuk Roziah Abudin berkata, kira-kira 1.4 juta kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia dan 23 jenis kenderaan barangan pengangkutan darat barangan serta 10 jenis kenderaan pengangkutan awam darat, layak menerima diesel subsidi.
"Ada pemilik kenderaan daripada golongan perseorangan, walaupun tidak disasarkan subsidi diesel itu melalui kaedah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) iaitu pemberian feleetcard, tapi ada kaedah lain iaitu Budi Madani.
"Selepas tolak T20, lingkungan 300,000 kenderaan yang merupakan pemilik daripada peniaga kecil yang akan menerima RM200 dan Budi Madani Agri-Komoditi. Kesemuanya, kerajaan seboleh mungkin bawa kesemua yang layak untuk disasarkan oleh SKDS 2.0 dan bantuan tunai yang menikmati diesel RM2.15,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.
Roziah berkata, pada 2019, RM1.4 bilion dibelanjakan untuk subsidi, RM20 bilion pada 2022 dan RM14.3 bilion pada 2023.
"Kenderaan diesel ini bilangan peningkatan hanya kurang daripada tiga peratus, persoalannya siapa yang menggunakan diesel? Itu yang kita katakan ada kelompok yang dipanggil channel switching, selama ini menikmati atau membeli pada harga komersial disebabkan perbezaan harga itu, daripada harga pasaran RM3.50 hingga RM3.60 masa itu, siapa yang tidak tertarik untuk beli pada harga RM2.15.
"Data menunjukkan berlaku ketirisan. Setiap suku tahun, kita dapati stesen minyak memohon kuota tambahan. Analisis data menunjukkan sebenarnya keperluan tidak sepatutnya setinggi itu,” katanya.
Beliau berkata, sehingga semalam, lebih 180,000 dari 223,000 kenderaan barangan didapati masih belum mendaftar di bawah SKDS 2.0, dan menyeru agar pemilik kenderaan tersebut segera membuat permohonan bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel oleh kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, KPDN merampas hampir 12 juta liter diesel melalui Op Tiris 1.0, yang dilaksanakan sejak 1 Mac 2023.
"Jumlah agak besar melibatkan pelbagai pihak yang didalangi oleh orang tempatan dan warga asing. Kita harap keberkesanannya agar boleh dinikmati pembayar cukai selain dapat menambah baik ruang fiskal negara ke arah lebih baik.
"Selain itu, sebanyak 210 notis dikeluarkan kepada peniaga dalam sektor membekalkan perkhidmaan dan harga barangan. Ada pihak yang menggunakan konotasi 56 peratus kenaikan diesel untuk mereka menaikkan 56 peratus harga barang dan perkhidmatan, yang ini kami nak pesan awas, kerana kami akan sampai,” katanya. - Bernama