SHAH ALAM - Hati ibu mana sanggup melihat keadaan anak yang tiba-tiba lemah tidak berdaya menahan kesakitan. Si kecil yang pada asalnya sihat dan gembira, bebas bermain tiba-tiba menjadi lesu.
Seperti dilalui seorang wanita, Nur Zahidah Ilham, 28, yang berdepan detik cemas apabila anak kesayangannya disahkan menerima jangkitan Norovirus.
Ujarnya, walaupun ia berlaku pada Mei lalu namun sehingga kini anak perempuannya, Raissa Mikayla Amir Shahmi yang berusia setahun empat bulan mengalami gangguan kecil pada otak.
"Buat masa sekarang Raissa berjalan tidak tegak dan lurus. Jalan pun jatuh-jatuh sebab doktor kata ada gangguan dekat otaknya. Keputusan daripada sampel najis dan pengimejan resonans magnetik (MRI) menunjukkan Norovirus.
"Ia menjadi radang pada otak dan usus kerana Raissa mengalami sawan serta cirit-birit berpanjangan. Jika kami bertindak lambat, ia boleh menyebabkan gangguan lagi teruk pada otak," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Nur Zahidah, anak sulungnya itu pada mulanya hanya muntah, cirit birit dan demam.
Jelasnya, keadaan lebih teruk apabila Raissa mengalami sawan sehingga empat kali sebelum mendapatkan suntikan daripada doktor.
"MRI kali kedua menunjukkan bahagian otak cerebellitis bengkak, Raissa diberikan antibiotik selama 10 hari dan ubat sawan. Selepas 12 hari di wad, Raissa dibenarkan pulang dan perlu tindakan susulan dengan doktor setiap dua minggu sekali.
"Perkembangan Raissa kini semakin baik dan dia terlebih aktif disebabkan ubat yang dimakan. Atas saranan doktor, ubat tersebut perlu diambil selama dua tahun," katanya.
Ujar Nur Zahidah, punca jangkitan virus berkenaan tidak dapat dikenal pasti namun dia akui mereka sekeluarga biasa meluangkan masa ke pusat membeli-belah dan taman permainan tertutup.
Menurutnya, taman permainan berkenaan dirasakan lebih selamat dan mudah bagi memantau pergerakan anak.
"Bila doktor tanya mana kami dapat memang tidak ada jawapan. Kami hanya kerap ke pusat beli-belah dan taman permainan tertutup.
"Doktor memaklumkan, tempat seumpama itu sangat bahaya untuk kanak-kanak, lagi-lagi ketika ramai orang kerana kita tidak tahu mereka pembawa virus apa kemudian sentuh sana sini," katanya.
Pesan Nur Zahidah buat ibu bapa di luar sana supaya sentiasa memastikan kebersihan persekitaran anak-anak bermain.
Ujarnya, pastikan membawa pencuci anti bakteria dan pembersih tangan sekiranya ke taman permainan tertutup.
"Jika ke taman permainan tertutup, kolam renang, guna kerusi bayi dan kemudahan awam, pastikan bawa tisu anti bakteria serta pembersih tangan sebagai langkah berjaga jaga.
"Antibodi kanak-kanak masih tidak kuat dan kita tak tahu virus apa yang ada dekat luar. Seeloknya pulang sahaja di rumah terus mandi dan tukar baju mereka. Elakkan membawa bayi yang fasa suka masuk benda dalam mulut ke tempat seperti itu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!