NIBONG TEBAL - Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini dibuka jam 9 pagi ini.
Tempoh proses penamaan calon adalah selama sejam sebelum calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK berkenaan manakala pengundian awal pada 2 Julai.
Kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
PRK DUN Sungai Bakap merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!