JELI - Waris kepada seorang lelaki dipercayai mangsa kemalangan di Batu Gajah hampir tiga minggu lalu dicari.
Pengarah Hospital Jeli, Dr Muhamad Fidaie Abdul Kadir berkata, mangsa yang berusia lingkungan 50-an kini dirawat di Wad Lelaki hospital berkenaan selepas dipindahkan dari Hospital Tanah Merah semalam.
Iklan
Iklan
"Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan betis kiri dirujuk ke hospital ini untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun sehingga hari ini, mangsa masih tidak sedarkan diri menyebabkan usaha mengesan waris mangsa tidak dapat dilakukan," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang mengenali individu berkenaan diminta tampil bagi membantu pihak hospital mengesan waris mangsa.
"Laporan polis sudah dibuat dan kita harap mana-mana pihak yang mungkin mengenali mangsa atau mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil," katanya.
Pagi tadi, gambar mangsa yang sedang dirawat di hospital berkenaan tular di media sosial sebelum usaha mendapatkan maklumat lebih lanjut dilakukan Sinar Harian.