ALOR SETAR - Sebuah motosikal yang cukai jalannya tamat tempoh hampir 10 tahun antara lima motosikal yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dalam Ops Tahun Baru Cina 2020 di sini malam tadi.
Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, motosikal itu ditunggang seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya berhadapan Masjid Aman.
Katanya, motosikal terbabit dibawa ke pejabat JPJ Jalan Suka Menanti di sini untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana cukai jalan tamat tempoh dan Seksyen 90 APJ 1987 kerana tiada pelindungan insurans.
"Pemilik motosikal yang disita perlu hadir secepat mungkin dalam tempoh tiga bulan untuk menuntut semula kenderaan serta memperbaharui cukai jalan," katanya kepada media ketika Ops Tahun Baru Cina di persimpangan Masjid Aman di sini malam tadi.
Menurutnya, hasil penguatkuasaan Ops Tahun Baru Cina 2020 yang bermula 18 Januari lalu sehingga malam tadi, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 1,399 saman membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Operasi berlangsung selama dua minggu sehingga 2 Februari depan turut mendapat kerjasama daripada agensi lain seperti PDRM, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain.
"Selain itu bagi memastikan keberkesanan operasi penguatkuasaan kali ini, pemeriksaan pemilik dan pemandu bil. 1/2020 dan pemeriksaan bas di depo telah bermula pada 11 hingga 17 Januari lalu," katanya.
Tambahnya, bagi memastikan kelancaran trafik bagi perjalanan orang ramai pada musim perayaan, tarikh larangan, pemanduan kenderaan barangan musim perayaan Tahun Baru Cina 2020 telah ditetapkan pada 23 hingga 24 Januari (sebelum perayaan) dan 27 hingga 28 Januari (selepas perayaan).