Saravanan kekal Timbalan Presiden MIC

Iklan
Datuk Seri M Saravanan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri M Saravanan mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden MIC selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding bagi penggal 2024-2027 pada pemilihan parti kali ini.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mengumumkan keputusan itu selepas Saravanan muncul sebagai satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan apabila pencalonan ditutup pada pukul 1 tengah hari ini.

Iklan
Iklan

"Oleh sebab beliau mendapat sokongan majoriti dari parti kita, Datuk Seri M Saravanan sekali lagi menjadi Timbalan Presiden MIC," katanya kepada media di Ibu Pejabat MIC di sini pada Sabtu.

Hari ini diadakan penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti melibatkan jawatan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, 21 Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan Majlis Tertinggi peringkat negeri yang berlangsung dari 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Iklan

Pada Mac lepas, Vigneswaran telah diumumkan kekal sebagai Presiden MIC apabila menang tanpa bertanding sewaktu penamaan calon jawatan itu.

Empat calon bertanding jawatan naib presiden iaitu tiga penyandang terdiri daripada Datuk T Mohan, Datuk T Murugiah dan Datuk M Asojan selain Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MIC, Datuk Dr R Nelson.

Iklan

Sementara itu, 45 calon akan merebut 21 jawatan CWC pada pemilihan kali ini.

Pengundian untuk pemilihan semua jawatan yang dipertandingkan bagi penggal 2024-2027 akan diadakan pada 6 Julai.

Ditemui pemberita selepas itu, Saravanan berkata, tempoh tiga tahun akan datang amat penting untuk parti tersebut mendekati dan meningkatkan relevansinya dalam kalangan masyarakat India di negara ini.

"Tiga tahun akan datang amat penting di mana usaha presiden parti untuk memperkukuhkan MIC sebagai parti populis, pemerkasaan ekonomi serta memperkasa MIC dalam ekonomi dan politik.

"Saya percaya dalam tiga tahun akan datang ini, MIC akan memainkan peranan penting. Hari ini, MIC memang jadi parti yang lebih dekat dengan masyarakat India melalui pendidikan. Tiga tahun akan datang cukup kritikal untuk menjadikan parti ini lebih relevan kepada masyarakat India," katanya.

Tambah beliau, sokongan daripada golongan muda juga dilihat agak luar biasa pada pemilihan parti kali ini berbanding ketika MIC memegang jawatan di dalam kerajaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!