PRK Sungai Bakap: Penyokong diminta beradab ketika 'live' di media sosial

Iklan
Fahmi bercakap kepada media semasa menghadiri pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Sungai Jawi pada Sabtu. Foto Bernama

NIBONG TEBAL - Penyokong kedua-dua calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap diingatkan agar sentiasa beradab dan berkelakuan baik dalam media sosial khususnya ketika melakukan siaran langsung (live) sepanjang tempoh kempen yang bermula hari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia bagi mengelakkan penyokong mana-mana parti politik mengeluarkan komen bersifat jelik dan melanggar undang-undang termasuk menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Iklan
Iklan

"Ramai yang beranggapan kalau dia masuk komen dalam Facebook Live, TikTok Live contohnya, maka tiada kesan kepada dia... kita hendak maklumkan bahawa pemantauan ini berjalan dan sekiranya ada pihak tertentu, penyokong dari mana-mana pihak menyalahgunakan platform ini, pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) akan mengambil tindakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin pada penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap di sini pada Sabtu.

Iklan

Selain itu, Fahmi memaklumkan MCMC akan berhubung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan tiada isu masalah Internet pada hari pengiraan undi PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini bagi memudahkan urusan pelaporan pengamal media.

Katanya, hal ini berikutan beliau telah menerima aduan beberapa pihak media mengenai masalah Internet di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini pagi tadi.

Iklan

Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri kononnya PH menggunakan jentera kerajaan bagi PRK DUN Sungai Bakap.

"Ini dakwaan yang liar kerana tempoh PRK baru sahaja bermula dengan tamatnya penamaan calon sebentar tadi, jadi arahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ialah menteri-menteri dan pihak kerajaan negeri perlu berhati-hati dan waspada, jangan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap yang membuka tirai dengan rasminya hari ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.