Nenek tujuh cucu terima pengiktirafan sempena Hari Pekerja Pembersihan

Iklan
Pekerja pembersihan Alam Flora Sdn Bhd, Nor Pisah Abdul Rahman (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan yang menerima Anugerah Pekerja Dedikasi 2024. Foto Bernama

KUANTAN - Bekerja di bawah panas terik dan ada kalanya hujan sama sekali tidak mematahkan semangat buat nenek kepada tujuh cucu, Nor Pisah Abdul Rahman untuk mencari rezeki sebagai tukang sapu.

Meskipun pekerjaan yang dilakukan itu sering dipandang sepi dan tidak ‘glamor' apatah lagi terpaksa bergelumang dengan sampah sarap, Nor Pisah yang bakal mencecah usia 59 tahun pada September ini tetap menganggap pekerjaan itu terbaik dan mulia.

Iklan
Iklan

"Saya mula kerja ketika berusia 30-an kerana nak bantu arwah suami yang juga kerja Alam Flora, ketika itu anak tiga orang nak masuk empat, saya perlu kerja untuk tambah pendapatan keluarga kami.

"Memang letih dan pernah rasa nak berhenti tetapi kalau tidak kerja saya tak ada pendapatan dan Alhamdulillah dengan rezeki melalui pekerjaan ini anak-anak dapat belajar dan sekarang sudah bekerja," kongsi ibu kepada enam cahaya mata itu kepada Bernama.

Nor Pisah bergambar selepas menerima Anugerah Pekerja Dedikasi 2024 sempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2024. Foto Bernama

Iklan

Beliau ditemui selepas menerima Anugerah Pekerja Dedikasi 2024 di sini hari ini pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2024 atau Garbage Man Day (GMD) yang disambut setiap 17 Jun di peringkat antarabangsa bertujuan memotivasikan, menghargai dan mengiktiraf pekerja pembersihan.

Bercerita lanjut, pekerja pembersihan Alam Flora itu berkata, tugasnya bermula seawal 7 pagi hingga 4 petang dengan menyapu di kawasan Bukit Sekilau, di sini.

Iklan

"Secara keseluruhan kumpulan saya ada dalam 30 orang, setiap pagi kami akan berkumpul sebelum dihantar menaiki lori ke kawasan masing-masing untuk kerja pembersihan dan akan diambil semula selepas tamat tugas,” katanya yang menetap di Kampung Padang Jaya, di sini.

Berkongsi penglibatan awal dengan kerjaya itu, beliau mengakui berasa geli sama seperti orang lain, tetapi lama kelamaan"alah bisa tegal biasa" dengan pekerjaan 3D (Difficult, Dangerous & Dirty).

"Dulu memang geli, rasa nak muntah bila terjumpa bangkai binatang dan kena pegang tetapi saya sudah biasa kerana hari-hari kita buat benda yang sama, malah masa muda dulu pernah orang kurang siuman kejar masa saya tengah menyapu...itu semua kenangan bergelar tukang sapu," katanya tersenyum.

Bakal bersara tahun depan, namun kelihatan masih bertenaga beliau menzahirkan penghargaan di atas anugerah yang diterima dan sokongan daripada orang sekeliling yang prihatin turut menyuntik semangat untuk bekerja.

"Memang seronok lakukan kerja ini dan ada juga bila orang jumpa saya kata banyak pahala awak dapat dan ada juga masyarakat Cina serta India kalau nampak saya menyapu di tengah jalan mesti pesan supaya berhati-hati," kongsi wira tidak didendang itu yang telah berkhidmat selama 26 tahun.

Terdahulu, Nor Pisah antara 10 penerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Kuantan Datuk Hasnul Hamidi Harun yang mewakili Datuk Bandar dan disaksikan Timbalan Pengurus Besar Operasi Alam Flora Sdn Bhd Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Sharudin Hamid berkata pihaknya bersama syarikat konsesi Alam Flora mengambil inisiatif menghargai pekerja pembersihan berkenaan atas pengorbanan mereka.

Beliau berkata, pekerjaan pembersihan ialah perkhidmatan penting untuk negara yang terdiri pekerja memungut sampah, mencuci longkang, menyapu jalan dan memotong rumput.

"Mereka bekerja tanpa mengenal erti penat lelah demi menjalankan amanah untuk memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih dan sejahtera," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!