KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan pembatalan keputusan untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan hasil desakan rakyat Sabah yang menolak dokumen khas untuk pendatang asing tanpa izin (PATI).
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Sabtu lalu juga adalah suara rakyat Sabah yang menolak pelaksanaan PSS tersebut.
"Langkah yang dilakukan amat dialu-alukan dan menjadi semak dan imbang terhadap kemenangan Datuk Mohamad Alamin di Kimanis.
"Ia adalah satu manifestasi bahawa suara rakyat yang menolak PSS turut didengar kerajaan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Kongres India Muslim (Kimma) di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.
Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan keputusan kerajaan Sabah untuk membatalkan pelaksanaan PSS selepas Parti Warisan Sabah (Warisan) tewas dalam PRK Kimanis yang memberi isyarat bahawa rakyat menolak pelaksanaan PSS berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Sabah batal pelaksanaan PSS
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut menyifatkan bahawa pembatalan tersebut membuktikan ia tidak pernah dicadang dilaksanakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap PATI di Sabah.
"Ketika Tan Sri Musa Aman selaku Ketua Menteri Sabah ketika itu dan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan bersama mesyuarat Jawatankuasa Induk RCI PATI Sabah tidak pernah mencadangkan bahawa PSS dilaksanakan di Sabah.
"Apabila Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal untuk membuat rumusan terhadap kajian-kajian itu juga tidak mendapati pun satu minit mesyuarat atau sebarang cadangan untuk mewujudkan PSS,” katanya.