NIBONG TEBAL - Tiada halangan untuk pesakit di Hospital Sungai Bakap keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang akan berlangsung pada 6 Julai nanti.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit perlu mendapatkan kelulusan daripada doktor sebelum keluar mengundi pada hari berkenaan.
"Bagi saya, tiada halangan untuk pesakit keluar mengundi, namun mereka perlu mendapatkan kelulusan atau nasihat daripada doktor dari sudut risiko dan keadaan kesihatan seseorang pesakit itu.
"Saya yakin pesakit-pesakit ini boleh mendengar pandangan doktor dan sekiranya mampu diuruskan, pastinya pesakit ini mahu melunaskan tanggungjawab mereka untuk mengundi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Sungai Bakap pada Sabtu.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini selepas penyandang kerusi berkenaan, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly menafikan kehadirannya dalam lawatannya ke Hospital Sungai Bakap merupakan 'gula-gula' pilihan raya berikutan ia diadakan pada hari penamaan calon bagi PRK Sungai Bakap.
"Apa gula-gula yang saya bagi, tak ada apa pun. Saya punya perancangan, dalam Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat sudah dibuat untuk setahun. Maknanya program ini telah dirancang sebelum PRK lagi.
"Kebetulan minggu ini, saya di Pulau Pinang. Saya hanya melunaskan tanggungjawab saya, tak ada apa-apa yang hendak saya berikan kecuali dengan warga Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dan Hospital Sungai Bakap.
"Tak ada apa-apa perlu saya perjelaskan kecuali menjalankan tugas sebagai menteri, saya tak ada buat apa-apa janji pun," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya, Dr Dzulkefly berkata, JKN Pulau Pinang telah mengenal pasti tapak yang sesuai bersebelahan Hospital Sungai Bakap sedia ada untuk membina bangunan hospital yang baharu.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang meneruskan proses berikutnya iaitu mendapatkan peruntukan.
"Hospital ini sudah berusia 130 tahun dan rancangan untuk membina bangunan baru sedang kita usahakan. Tapak tanah telah dikenal pasti dan kini kita sedang melangkah ke fasa mendapatkan peruntukan.
"Saya tidak mahu buat apa-apa janji di sini dan kita ada rancangan untuk jadikan hospital ini sebagai pusat geriatrik," katanya.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.