KUALA LUMPUR - Pemimpin UMNO mendakwa tidak tahu menahu mengenai pertemuan terbaru antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti yang hangat diperkatakan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada pemimpin UMNO yang dimaklumkan mengenai pertemuan tersebut.
Bagaimanapun katanya, adalah menjadi hak Pas untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja termasuk Dr Mahathir.
"Itu adalah keputusan di dalam parti mereka. Urusan dalaman adalah hak parti masing-masing. Jadi tak timbul, persoalan mengenai UMNO dikatakan tidak terlibat (dalam pertemuan itu).
"Mungkin satu hari nanti UMNO pula berjumpa dengan sesiapa sahaja. Jadi, itu adalah keputusan UMNO. Tidak timbul isu Pas meninggalkan UMNO untuk berjumpa dengan Tun atau sebagainya rentetan pertemuan itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir mengakui mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi kepada media selepas tersebarnya gambar beliau bersama pemimpin tertinggi Pas itu baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan PH terbuka jalin kerjasama termasuk dengan Pas: Tun M
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas adalah kerjasama dua parti, namun ramai yang keliru dengan menganggap kedua-duanya telah bergabung.
Disebabkan itu, katanya, UMNO dan Pas masih lagi bergerak secara persendirian dan sememangnya keputusan mengenai dalaman parti adalah hak masing-masing.
"Setakat ini kerjasama masih lagi di peringkat kita panggil ta'awun. Muafakat untuk mewujudkan satu parti macam Barisan Nasional (BN) itu masih belum ada," katanya.