IPOH - Seorang pekerja hotel menganggap memiliki darah jenis jarang jumpa sebagai satu rahmat dalam membantu keperluan pesakit dan individu yang memerlukan.
Nazran Mohd Nawawi, 47, yang menjadi penderma darah sejak berusia 18 tahun berkata, lebih mengembirakan apabila bekalan darah itu diperlukan dalam waktu-waktu kesukaran seperti ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Menurut bapa seorang anak yang memiliki darah jenis O itu, dalam tempoh Covid-19, dia menerima beberapa kali panggilan dari Pusat Darah Negara yang memerlukan bekalan darah bagi rawatan kecemasan.
"Tak silap saya lebih daripada 10 kali saya menderma darah kerana situasi ketika itu negara kekurangan platelet untuk diagihkan ke hospital-hospital.
"Saya bangga dapat lakukan (derma darah) dan menganggap sebagai satu tanggungjawab serta kebersamaan sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Apresiasi Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Sabtu.
Dalam majlis itu, Nazran anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang dan kini menetap di Puncak Alam, Selangor dipilih sebagai penerima Anugerah Penderma Darah Jenis Darah Jarang Jumpa.
Beliau berkata, anugerah tersebut adalah yang pertama diterima selepas lebih 300 kali menderma darah termasuk sebagai penderma darah plasma atau aferesis tegar.
Katanya, darahnya dikategorikan jarang jumpa kerana platelet yang terkandung dalam darahnya sangat diperlukan bagi penghidap penyakit tertentu.
"Sekitar tiga tahun lalu, saya dimaklumkan kakitangan perubatan makmal darah bahawa di Kuala Lumpur, hanya ada dua individu termasuk saya yang mempunyai darah sedemikian," katanya.
Sementara itu, Nurdin Isa, 43, yang menerima Anugerah Penderma Aferesis Terbanyak berkata, keinginan untuk menderma darah timbul sejak usia baru mencecah 13 tahun kerana tertarik dengan keistimewaan diperolehi sebagai penderma.
Bagaimanapun katanya, hasrat itu dipendam kerana kelayakan faktor usia yang tidak membenarkan sebagai penderma darah.
"Cukup sahaja usia 18 tahun, saya terus ke hospital untuk menderma darah dan berterusan sehinggalah sekarang.
"Saya harap generasi muda sekarang berani tampil sebagai penderma dan menyokong aktiviti pendermaan darah yang dijalankan.
"Bukan sahaja demi kesihatan diri, tetapi aktiviti ini juga memberi banyak kelebihan terutama ketika menerima rawatan pesakit luar dan perubatan serta wad secara percuma di hospital atau klinik kesihatan," katanya.
Tema sambutan Hari Penderma Darah Sedunia tahun ini adalah 'Meraikan sambutan ke-20 hari penderma darah sedunia: Terima kasih, penderma darah'.
Seramai 79 penderma darah dan 22 penganjur kempen derma darah telah disenaraikan sebagai penerima anugerah
Anugerah lain yang disampaikan ialah penderma darah terbanyak, penganjur kempen derma darah paling komited bagi setiap negeri serta kategori baharu iaitu anugerah khas penderma muda khusus bagi golongan belia.