Ruang khemah sempit di Mina di luar bidang kuasa TH - Syed Salleh

Iklan
Keluasan tapak perkhemahan di Mina ditentu berdasarkan agihan Maktab oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

MAKKAH - Ketua Rombongan Haji 1445H/2024, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata isu keadaan khemah yang sempit semasa di Mina adalah di luar bidang kuasa Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, ini kerana setiap negara telah diperuntuk dengan keluasan tanah tertentu berdasarkan jumlah kuota jemaah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

Iklan
Iklan

"Seperti yang kita sedia maklum, sempadan di Mina telah ditetapkan serta terhad dan itulah sempadannya. Sama ada nak letak keseluruhan jemaah sejuta, lima juta atau 10 juta orang itulah sahaja jumlah keluasannya di Mina.

"Keluasan tapak perkhemahan di Mina ditentu berdasarkan agihan Maktab oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, bukannya Tabung Haji. Kuota Malaysia ialah 31,600 jemaah haji sahaja dan telah diperuntuk dengan keluasan tertentu,” katanya ketika berucap pada majlis penghargaan 315 Sahabat Maktab di Ibu Pejabat TH di sini pada Sabtu.

Iklan

Syed Salleh berkata, bagaimanapun, dalam usaha memberi keselesaan kepada jemaah haji, TH sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa termasuk menyediakan pendingin hawa tambahan, permaidani lebih tebal dan memasang jubin seramik di tapak khemah.

Begitu juga dengan rungutan mengenai bilangan tandas yang terhad, katanya, TH telah mengajukan permohonan untuk meningkatkan kemudahan itu namun kerajaan Arab Saudi memaklumkan jika ia ditambah, ruang khemah akan menjadi lebih kecil.

Iklan

Beliau berkata, justeru itu, TH akan mengemukakan cadangan untuk menambah bilangan tandas bertingkat yang ada ketika ini selain mengesyorkan khemah bertingkat.

Pada majlis itu, Syed Saleh turut merakamkan penghargaan kepada 315 Sahabat yang mewakili sembilan Maktab terdiri daripada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik yang telah memberikan khidmat secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

"Kami amat bersyukur selain mempunyai tenaga kekuatan petugas haji seramai 670 orang, kami berbesar hati dan gembira mempunyai tenaga kerja tambahan dalam kalangan Sahabat Maktab,” katanya.

Beliau turut memuji sikap Sahabat Maktab yang melakukan tanggungjawab dengan penuh sabar ketika menyantuni jemaah serta dedikasi termasuk mengorbankan masa beribadat dan berdoa semasa wukuf di Arafah.

Syed Saleh turut melancarkan logo Sahabat Maktab yang pertama kali diperkenal pada 2006. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!